DATUK Seri Johari Abdul Ghani pada Persidangan Dewan Rakyat, baru-baru ini. FOTO Bernama
DATUK Seri Johari Abdul Ghani pada Persidangan Dewan Rakyat, baru-baru ini. FOTO Bernama
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Kuala Lumpur: Kementerian Perladangan dan Komoditi sudah melaksanakan pelbagai usaha bagi meyakin dan memastikan pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MYSPO) dapat memenuhi perundangan European Union Deforestation-free Regulation (EUDR).

Ia agar minyak sawit Malaysia tidak didiskriminasi di pasaran Eropah dan dunia.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, antara usaha dilakukan termasuklah penubuhan Ad Hoc Joint Task Force on EUDR (Ad Hoc JTF) dengan kerjasama bersama Indonesia, Council of Palm Oil Producing Countries (CPOPC) dan Suruhanjaya Eropah.

"Melalui platform ini, pihak EU (Kesatuan Eropah) bersetuju untuk membantu menangani kekangan yang dihadapi oleh Malaysia dan Indonesia dalam memenuhi keperluan EUDR.

"Mesyuarat pertama Ad Hoc JTF pada Ogos 2023 sudah mengenal pasti lima kekangan utama yang dihadapi.

"Ia merangkumi isu pembabitan pekebun kecil dalam rantaian bekalan, skim pensijilan nasional yang berkaitan, kebolehjejakan daripada pengeluar kepada pengguna akhir, data saintifik mengenai penyahhutanan serta degradasi hutan dan perlindungan data peribadi," katanya dalam jawapan bertulis di Parlimen, hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Bakri Jamaluddin (PN-Tangga Batu) sejauh mana usaha kementerian dalam kempen meyakinkan EU bahawa MYSPO adalah pensijilan yang memenuhi piawaian EUDR agar minyak sawit Malaysia tidak didiskriminasi di pasaran eropah dan dunia.

Mengulas lanjut, Johari berkata, melalui platform ini juga, MSPO sudah bekerjasama dengan European Forest Institute (EFI) bagi menjalankan kajian analisis jurang perbezaan di antara skim pensijilan MSPO dengan perundangan EUDR.

Katanya, hasil kajian awal menunjukkan MYSPO berpotensi besar untuk memenuhi keperluan peraturan EUDR.

"Ini adalah kerana Malaysia telah menyemak semula piawaian MSPO 2.0 agar selari dengan norma antarabangsa supaya dapat meningkatkan kredibiliti dan mengembangkan skop yang lebih luas untuk pengiktirafan daripada pasaran global," katanya.

Menurutnya, MYSPO 2.0 juga sudah ditambah baik dengan kemasukan beberapa elemen membabitkan isu sosial dan amalan pertanian baik.

"Ia seperti Penilaian Nilai Pemuliharaan Tinggi (HCV), Penilaian Kesan Sosial (SIA), kuantifikasi pelepasan gas rumah hijau (GHG) dan penetapan tarikh akhir pada 31 Disember 2019 bagi penebangan hutan asli, kawasan yang dilindungi dan kawasan HCV untuk penanaman sawit," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Julai 2024 @ 11:32 AM