Rosman Shamsudin


KRONOLOGI kehilangan dan pembunuhan Nur Farah Kartini Abdullah, 25. Mangsa yang berasal dari Sarawak adalah graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Multimedia) dengan Kepujian dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (Upsi) dan bekerja di bahagian pemasaran digital sebuah kedai percetakan di Perak.

11 Julai 2024

• Polis menerima laporan pada jam 1.56 pagi berhubung kehilangan Nur Farah Kartini selepas gadis itu menghantar kereta sewa kepada seorang pelanggan di Taman Universiti, Tanjung Malim.

• Nur Farah Kartini dilaporkan kali terakhir dilihat selepas menghantar kereta sewa kepada pelanggan di sebuah taman perumahan di Tanjung Malim, kira-kira 8 pagi 10 Julai lalu.

• Mangsa kemudian didakwa menaiki sebuah kereta berwarna merah yang tidak dikenal pasti nombor pendaftarannya berikutan hujan ketika itu.

• Gadis itu kali terakhir dilihat berpakaian korporat berwarna biru, bertudung dan mengenakan seluar slack hitam.

• Komunikasi terakhir antara seorang kakitangan bahagian pengurusan kedai percetakan terbabit dengan gadis itu ialah pada 8.14 pagi (hari kejadian) dan mangsa tidak dapat dihubungi selepas itu.

12 Julai 2024

• Seorang kakitangan bahagian pengurusan kedai percetakan merayu Nur Farah Kartini pulang, menerusi laporan media

• Gadis itu disifatkan sebagai seorang yang komited dalam kerja sepanjang hampir setahun bekerja di kedai percetakan berkenaan.

• Nur Farah Kartini dilaporkan tidak bekerja dengan syarikat perkhidmatan kereta sewa, sebaliknya hanya membantu sesiapa yang mahu menyewa kereta kerana mendapat komisen daripada usaha itu

• Abang Nur Farah Kartini yang tinggal di Selangor dilaporkan pergi ke Tanjung Malim pada malam kejadian untuk mendapatkan maklumat dan perkembangan lanjut mengenai kehilangan adiknya itu.

NUR Farah Kartini
NUR Farah Kartini

15 Julai 2024

• Mayat Nur Farah Kartini dilaporkan ditemui di Felda Gedangsa, Hulu Selangor, kira-kira 6 petang. Mangsa dipercayai dibunuh individu yang dikenalinya.

• Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Khan berkata, hasil pemeriksaan awal mengesahkan mayat itu adalah mangsa yang dilaporkan hilang berkait laporan di Tanjung Malim

• Seorang suspek berusia 26 tahun ditahan

• Abang mangsa ke lokasi kejadian

16 JULAI 2024

• Seorang penjawat awam yang ditahan bagi membantu siasatan susulan penemuan mayat Nur Farah Kartini, tiba di Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu pada 8.48 pagi. Suspek dilihat memakai pelitup muka dan berbaju lokap polis berwarna oren.

• Hakim Mahkamah Sesyen, Nurul Mardhiah Mohammed Redza, mengeluarkan perintah tahanan reman ke atas penjawat awam berusia 26 tahun itu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

• Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan, memaklumkan bahawa suspek adalah teman lelaki mangsa. Berpandukan siasatan terhadap suspek membawa kepada penemuan mayat mangsa di sebuah ladang kelapa sawit di Kampung Sri Kledang, Hulu Selangor, petang semalam.

• Abang mangsa, Mohd Farriza Azmi Abdullah, berkata jenazah Nur Farah Kartini dijangka dibawa pulang ke kampung halamannya di Kampung Lereng Bukit, Miri, Sarawak, untuk dikebumikan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Julai 2024 @ 12:26 PM