AZROY mengangkat trofinya selaku juara keseluruhan kelas CP150. FOTO Ihsan Cub Prix
AZROY mengangkat trofinya selaku juara keseluruhan kelas CP150. FOTO Ihsan Cub Prix
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Pelumba Honda Yuzy Idemitsu Team, Azroy Hakeem Anuar akhirnya dinobatkan sebagai juara keseluruhan kelas CP150 hari ini selepas mengharungi 10 pusingan Kejuaraan Cub Prix Malaysia Petronas.

Jelas sekali, cuaca yang cukup baik hari ini dimanfaatkan Azroy untuk mencatatkan keputusan positif pada perlumbaan terakhir musim 2021 di Litar Sepang Selatan.

Walaupun kedudukan pendahulu kejuaraan dipintas Ahmad Afif Amran dari pasukan Petronas Sprinta Yamaha-CKJ Racing di Pusingan 9, semalam namun Azroy tidak patah semangat apabila dia berjaya memastikan menjadi pelumba pertama melintasi garisan penamat dengan catatan 14 minit 13.682 saat (s) dalam Pusingan 10.

Kemenangan dilakar itu sekali gus mengesahkan kedudukan Azroy sebagai juara CP150 apabila mengumpul 163 mata. Azroy berkata, perlumbaan terakhir itu cukup 'memeritkan' apabila pesaing lain turut mempamerkan aksi terbaik untuk meraih kejuaraan.

"Perlumbaan tadi memang mencabar kerana terlalu ramai pelumba-pelumba Yamaha yang berada di depan.

"Sebab itu, saya memilih strategi yang lebih selamat. Musim ini juga agak mencabar bagi kami semua. Agak sukar untuk mendapat momentum apabila penganjuran perlumbaan terpaksa ditangguh akibat pandemik Covid-19.

"Namun, saya amat bersyukur mendapat peluang untuk menamatkan musim 2021 dengan kejayaan yang diidamkan selama ini. Saya akan cuba yang terbaik untuk mengekalkan prestasi kami dalam musim hadapan," katanya.

Pelumba Yamaha GenBlu AHM Motor Sports, Ahmad Fazrul Sham menamatkan perlumbaan terakhir musim ini di kedudukan kedua dengan catatan masa 14:13.700s dan Mohd Izzat Zaidi Mohd Salehan menduduki tempat ketiga dengan 14:13.702s.

Pesaing terdekat Azroy, Ahmad Afif Amran, menamatkan perlumbaan penutup tirai di tempat kelima dan terpaksa akur di tangga kedua keseluruhan dengan 157 mata manakala Mohd Akid Aziz menamatkan musim 2021 di tangga ketiga dengan 135 mata.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Disember 2021 @ 6:56 PM