MBAPPE (kiri) cuba melepasi pemain pertahanan Sepanyol di separuh akhir Euro 2024 di Munich, 9 Julai lalu. FOTO AFP
MBAPPE (kiri) cuba melepasi pemain pertahanan Sepanyol di separuh akhir Euro 2024 di Munich, 9 Julai lalu. FOTO AFP
AFP

Madrid: Masih meraikan kejayaan Sepanyol muncul juara Euro 2024, penyokong Real Madrid boleh meneruskan sorakan apabila pemain bintang Perancis, Kylian Mbappe akan diperkenalkan di stadium Santiago Bernabeu, hari ini.

Dijangka kehadiran penuh 85,000 orang, stadium itu bersedia menyambut kemunculan sulung Mbappe dan diramal mampu mengatasi rekod dicatatkan oleh Cristiano Ronaldo, 15 tahun lalu.

Walaupun tiket diberikan secara percuma, ia habis dengan cepat apabila sebahagian penyokong mengambil peluang untuk menjualnya semula bagi mengambil kesempatan di atas keterujaan susulan kehadiran penyerang terbaik dunia itu.

Mbappe dijangka menandatangani kontrak baharu lima tahun dengan presiden Real, Florentino Perez sebelum hadir ke stadium untuk berjumpa penyokong dan mengadakan sidang media.

Walaupun rakan sekelab sudah memulakan latihan semalam, Mbappe yang mengetuai Perancis di Euro 2024, akan berehat selama beberapa hari sebelum memulakan kempen di ibu negara Sepanyol itu.

Pegawai perubatan kelab perlu memeriksa hidungnya yang patah ketika Perancis menang 1-0 ke atas Austria ketika aksi peringkat kumpulan pada 18 Jun, sebelum Perancis tersingkir di separuh akhir di tangan Sepanyol.

Bagi Mbappe dan Real Madrid, ia adalah sesuatu yang sudah lama dinantikan dan dirancang.

Pemain berusia 25 tahun itu yang sentiasa mengaku sebagai peminat Los Blancos dan Ronaldo akan memakai jersi nombor 9, yang mula dijual pada Khamis lalu di kedai di Real dengan imej wajahnya.

Hadir dari Paris Saint-Germain (PSG), yang disertainya pada 2017, Mbappe menghadapi kempen Euro mengecewakan secara peribadi apabila dibayangi pemain sensasi sedang meningkat naik Sepanyol, Lamine Yamal.

Malah, dia berdepan musim sukar di PSG susulan keputusannya enggan menyambung kontrak apabila pemain yang muncul penjaring terbanyak kelab Paris itu mengakui 'bebas dan lega' susulan perpindahan ke Real.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Julai 2024 @ 11:59 AM