Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid

Kuala Lumpur: Dewan Rakyat hari ini dimaklumkan bahawa kerajaan sedia menggunakan khidmat guru bahasa Inggeris yang sudah bersara bagi membantu meningkatkan penguasaan mata pelajaran itu dalam kalangan pelajar di negara ini.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata, pihaknya sentiasa terbuka dan mengalu-alukan sumbangan kumpulan berkenaan.

"Malah, mereka (guru bahasa Inggeris yang telah bersara) juga banyak membantu usaha KPM (Kementerian Pelajaran) dalam meningkatkan pengajaran dan pembelajaran (P&P) Bahasa Inggeris.

"Jadi, sebenarnya tiada masalah untuk kita membuka ruang kepada pesara guru bersama dengan kita dan memberi sumbangan bagaimana hendak pertingkat dan mempelajari bahasa Inggeris dengan lebih berkesan," katanya pada Sesi Pertanyaan Menteri.

GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP

Beliau menjawab soalan tambahan Jimmy Puah Wee Tse (PH-Tebrau) mengenai keperluan untuk mengambil guru bahasa Inggeris dari Singapura dan mencadangkan supaya KPM menggunakan khidmat guru mata pelajaran itu yang sudah bersara.

Menjawab soalan asal Kalam Salan (PN-Sabak Bernam) mengenai perancangan khusus kerajaan berhubung cadangan membawa masuk tenaga pengajar bahasa Inggeris dari Singapura, Fadhlina berkata, KPM sedang meneliti cadangan tersebut.

"KPM menyambut baik dan sedang meneliti cadangan sukarelawan ini terutama dari sudut pelaksanaan di institusi pendidikan di bawah kementerian agar perkara ini selari dengan dasar dan peraturan sedia ada.

"KPM juga akan mengenal pasti sukarelawan yang mempunyai kelayakan tertentu bagi menjamin kualiti pengajaran dan pembelajaran," katanya.

Beliau berkata, inisiatif seperti itu pernah dilaksanakan KPM melibatkan tenaga pengajar dari negara maju seperti Australia, Amerika Syarikat (AS) dan Korea Selatan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Julai 2024 @ 12:16 PM