ORANG ramai di lokasi penemuan enam mayat di tempat pembuangan sampah di Nairobi. FOTO AFP
ORANG ramai di lokasi penemuan enam mayat di tempat pembuangan sampah di Nairobi. FOTO AFP
AFP

Nairobi: Polis Kenya menahan suspek pembunuhan bersiri yang mengaku membunuh 42 wanita termasuk isterinya sebelum membuang keratan mayat mereka ke tempat pembuangan sampah di Nairobi.

Sejak Jumaat, sembilan mayat yang disembelih dan diikat dalam beg plastik diangkut dari tapak kuari terbiar di kawasan setinggan Mukuru, satu penemuan menggerunkan di negara ini.

Pemangku Ketua Polis Negara, Douglas Kanja berkata, suspek, Collins Jumaisi Khalusha, 33, ditahan berhampiran sebuah bar di sini, kira-kira 3 pagi ketika lelaki itu menonton perlawanan akhir bola sepak Euro 2024.

"Sembilan mayat yang dicacatkan dan dikerat setakat ini diambil dari tempat kejadian.

"Bedah siasat ke atas mangsa akan dijalankan pada Isnin. Lapan daripadanya disahkan sebagai wanita," katanya.

Kanja memberitahu pemberita pada Ahad, semua pegawai di pos polis berhampiran juga dipindahkan.

Sementara itu, Ketua Direktorat Siasatan Jenayah (DCI), Mohamed Amin berkata, Khalusha mendakwa pembunuhan itu dilakukan antara 2022 sehingga 11 Julai tahun ini.

"Kita berdepan dengan pembunuh bersiri, psikopat dan vampire yang tidak menghormati nyawa manusia.

"Suspek mengaku mengumpan (mangsanya) sebelum membunuh dan membuang 42 mayat wanita di tapak pelupusan.

"Malangnya dan amat menyedihkan, suspek mendakwa mangsa pertamanya ialah isterinya... yang dicekiknya sehingga mati, sebelum mayatnya dikerat dan membuangnya di tapak sama," katanya kepada pemberita.

Mohamed berkata, suspek dikesan selepas analisis terhadap salah satu telefon bimbit mangsa.

Katanya, operasi itu dijalankan DCI dengan kerjasama Perkhidmatan Polis Negara.

"Ketika pegawai polis datang, dia sedang dalam proses menjerat mangsa lain," katanya.

Mohamed berkata, dalam penggeledahan di rumahnya kira-kira 100 meter dari lokasi mayat ditemukan, polis menemukan parang, guni nilon, tali, sepasang sarung tangan getah industri serta beg tangan wanita merah jambu dan dua seluar dalam wanita.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Julai 2024 @ 12:18 PM