AHMAD Afif bersama trofi kemenangan. FOTO Malaysian Cub Prix
AHMAD Afif bersama trofi kemenangan. FOTO Malaysian Cub Prix
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Selepas hampir dua tahun tanpa sebarang kemenangan, pelumba Petronas Sprinta Yamaha - CKJ Racing, Ahmad Afif Amran, akhirnya berjaya merangkul kejuaraan pertama musim 2021 di Pusingan 7 Kejuaraan Petronas Malaysian Cub Prix di Litar Tangkak.

Kehadiran penonton di Litar Tangkak buat pertama kali sejak musim 2019 jelas memberikan motivasi yang tinggi kepada pelumba elit dalam kategori CP150.

Sebaik perlumbaan sebanyak 20 pusingan itu dimulakan, Kasma Daniel Kasmayudin yang bermula dari petak pertama berjaya menyambar kedudukan pendahulu.

Berhadapan dengan tentangan hebat lima lagi pesaing lain, Kasma Daniel mampu menahankan kedudukannya sehingga pusingan ke-15 sebelum dipintas Nazirul Izzat Bahaudin, Ahmad Afif Amran dan Mohd Akid Aziz.

Perebutan sengit untuk tempat pertama menyaksikan beberapa insiden 'close contact' terutamanya pada pusingan ke-17 antara Nazirul Izzat and Akid Aziz.

Ketika Nazirul dan Akid bergelut untuk berada di posisi kedua, Ahmad Afif menyambar peluang untuk terus menjarakkan diri.

Situasi ini memberi ruang yang agak selesa bagi Ahmad Afif untuk menamatkan perlumbaan Pusingan 7 sebagai pemenang dengan catatan masa 14'49.941 saat (s).

Berada 1.784s di belakang Afif, Nazirul Izzat yang mewakili pasukan Petronas Sprinta Yamaha Maju Motor, berjaya menduduki tempat kedua dengan catatan masa 14'51.725s manakala Mohd Akid dari pasukan ONEXOX TKKR Racing Team menamatkan perlumbaan di tempat ketiga dengan 14'52.835s.

"Kemenangan ini amat bermakna bagi saya. Selepas sekian lama tidak berada di podium teratas, kemenangan ini adalah motivasi baharu untuk mengharungi perlumbaan seterusnya," kata Ahmad Afif.

Pendahulu kategori CP150, Azroy Hakeem Anuar dari pasukan Honda Yuzy Idemitsu Team, menamatkan perlumbaan Pusingan 7 di tempat kelima dan kini mendahului buruan takhta CP150 dengan 114 mata.

Dalam kategori CP125, Mohd Hafiza Rofa dari pasukan ONEXOX TKKR Racing Team berjaya mencatat kemenangan kedua musim, manakala dalam kategori Wira pula, Mohd Irfan Haykhal Amidi dari pasukan Moto1 Koyoko Honda KC Racing membuat kejutan apabila selesa memenangi perlumbaan dengan catatan masa 9'29.226s.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 November 2021 @ 6:47 PM