FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
AFP

Bucharest: Parlimen Romania semalam, meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) bagi pemusnahan hampir 500 ekor beruang, tahun ini, dalam usaha mengawal spesies dilindungi itu yang berlebihan sehingga mengancam dan menyerang manusia.

Perdana Menteri Marcel Ciolacu memanggil ahli parlimen pulang dari cuti rehat musim panas mereka untuk menghadiri sesi tergempar sidang dewan rakyat, semalam, selepas kejadian terbaharu membabitkan seorang pendaki muda mati diserang di Pergunungan Carpathian.

Selain mengguna pakai RUU untuk mengawal populasi beruang coklat, parlimen bertafakur sebagai simbolik memberi penghormatan kepada pendaki berusia 19 tahun itu.

Undang-undang yang diluluskan pada Isnin itu membenarkan pemusnahan 481 beruang pada 2024, lebih dua kali jumlah tahun lalu iaitu sebanyak 220.

Penggubal undang-undang berhujah, populasi berlebihan beruang menyebabkan peningkatan dalam serangan, sambil mengakui undang-undang tidak akan menghalang serangan pada masa hadapan.

Keputusan itu bagaimanapun, menerima bantahan di seluruh negara terutama dari kumpulan alam sekitar.

Ahli Biologi Tabung Hidupan Liar Dunia (WWF), Calin Ardelean memberitahu AFP, undang-undang tidak menyelesaikan apa-apa masalah.

"Tumpuan harus dialihkan ke arah pencegahan dan campur tangan," katanya.

Pada 2023, kira-kira 7,500 panggilan kecemasan untuk memberi isyarat melihat beruang direkodkan, lebih dua kali ganda pada tahun sebelumnya, menurut data yang dibentangkan pihak berkuasa Romania, minggu lalu.

Berdasarkan data Kementerian Alam Sekitar, Romania adalah 'rumah' kepada populasi beruang coklat terbesar di Eropah, dengan jumlah mencecah 8,000 ekor.

Kementerian itu pada awal tahun ini berkata, beruang membunuh 26 orang dan mencederakan 274 yang lain, sejak 20 tahun lalu di negara tenggara Eropah itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Julai 2024 @ 11:32 AM