KASMA berjaya muncul juara pusingan keenam Cub Prix di Litar Permotoran Terengganu. FOTO Ihsan Cub Prix
KASMA berjaya muncul juara pusingan keenam Cub Prix di Litar Permotoran Terengganu. FOTO Ihsan Cub Prix
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Tanpa diduga, Kasma Daniel Kasmayuddin berjaya kembali ke podium Kejuaraan Petronas Malaysian Cub Prix dengan meraih kemenangan selepas mempamerkan tunggangan cemerlang di Pusingan 6 yang berlangsung di Litar Permotoran Terengganu hari ini.

Memulakan perlumbaan dari barisan kedua, pelumba Petronas Sprinta Yamaha Maju Motor itu berusaha keras di lima pusingan pertama untuk merapati kelompok hadapan yang dipimpin Azroy Hakeem Anuar dan Mohd Akid Aziz.

Selepas merapati Akid, Kasma tidak berlengah lagi untuk mengatur strategi memintas pelumba ONEXOX TKKR Racing Team itu.

Pada pusingan kesembilan, Kasma mula memberi tekanan kepada pendahulu perlumbaan, Azroy dengan jurang antara mereka berdua semakin berkurangan.

Namun demikian, Azroy kekal dengan strategi bertahan tatkala Kasma menggunakan setiap inci litar, bagi mencari ruang untuk melakukan pintasan.

Peluang itu muncul pada pusingan terakhir apabila Kasma berjaya melepasi halangan Azroy di selekoh pertama.

Pelumba Petronas Sprinta Yamaha Maju Motor itu berjaya mengekalkan kedudukannya sehingga sampai ke garisan penamat dengan catatan masa 16'33.906 saat (s), tatkala Azroy hanya berpuas hati di tempat kedua dengan jurang masa 0.083 saat di belakang Kasma, Azroy terpaksa akur di tempat kedua.

Kedudukan ketiga sekali lagi diraih Mohd Akid Aziz dengan catatan masa 16'37.192s.

"Pasukan kami menggunakan banyak masa untuk mencari pelarasan gear dan suspensi yang tepat untuk litar yang agak teknikal ini. Hingga ke sesi kelayakan kedua untuk Pusingan 6 pada hari Ahad, saya mula berasa lebih yakin.

"Semasa di perlumbaan tadi, saya sebenarnya menunggu peluang yang tepat untuk memintas. Peluang itu sampai di selekoh pertama pada lap terakhir," jelas Kasma.

Kemenangan ini adalah kejayaan pertama Kasma sejak Disember 2018 dan yang pertama sejak kembali dari beraksi dalam saingan Moto2.

Bagaimanapun, Azroy yang mempamerkan prestasi yang konsisten sepanjang minggu ini masih mendahului carta kejuaraan CP150 dengan 103 mata.

Pelumba kelahiran Terengganu, Ahmad Afif Amran kekal di tangga kedua keseluruhan dengan 71 mata manakala Mohd Akid Aziz naik ke tangga ketiga keseluruhan dengan 70 mata.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Oktober 2021 @ 5:36 PM