Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid

Kuala Lumpur: Sebarang insiden atau kemalangan yang berlaku di tapak projek pembinaan lebuh raya di laluan awam akan didedahkan kepada umum, sekiranya ia meragut nyawa dan berskala besar.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, adalah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk mendedahkan kajian, dapatan dan hasil siasatan kepada umum jika insiden itu berskala besar.

"Kalau kecil kerosakan, mungkin tak perlu," katanya pada Sesi Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Dr Halimah Ali (PN-Kapar) mengenai hasrat kerajaan untuk memperkemaskan prosedur operasi standard (SOP) khususnya aspek keselamatan bagi projek pembinaan berhampiran laluan awam.

Halimah turut bertanya sama ada kerajaan mahu mendedahkan laporan siasatan insiden yang meragut nyawa pengguna di kawasan kepada umum.

Mengulas lanjut, Nanta berkata, kerajaan juga tidak mempunyai masalah untuk menambah baik SOP sedia ada jika berkeperluan.

"Supaya SOP ini benar-benar memberi impak untuk kita mengelakkan kesan buruk kepada proses atau pelaksanaan mana-mana projek.

"SOP ini adalah satu garis panduan supaya kita menggunakan cara terbaik. Disebabkan itu ia dinamik dan bukan statik," katanya.

ALEXANDER Nanta Linggi. FOTO Arkib BERNAMA
ALEXANDER Nanta Linggi. FOTO Arkib BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Julai 2024 @ 11:51 AM