DATUK Seri Ahmad Zahid Hamidi. FOTO Eizairi Shamsudin
DATUK Seri Ahmad Zahid Hamidi. FOTO Eizairi Shamsudin
Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: Majlis Amanah Rakyat (MARA) dicabar untuk menggandakan Pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menerusi peranannya dalam program Gate to Global (GTG).

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, dari 2020 sehingga hari ini, jumlah jualan sebanyak RM400 juta sudah disumbangkan kepada KDNK melalui syarikat GTG.

Beliau berkata, itu antara lima fokus utama yang boleh digarapkan bersama bagi menjadi sebahagian daripada fokus serta agenda KKDW pada tahun ini.

"Lima fokus itu, pertama, memperkasa dan mempromosikan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET). Saya pasti ramai yang sudah tahu, TVET ini diangkat Perdana Menteri menjadi agenda nasional.

"KKDW mempunyai peranan yang amat besar dalam menggerakkan agenda ini bersama, lebih-lebih lagi KKDW sendiri mempunyai 279 institusi TVET, jumlah yang terbesar di antara semua kementerian.

"Kedua, memangkin pembangunan halal negara kerana ia satu sektor yang berpotensi besar.

"Selain memperkukuhkan industri domestik, kita juga perlu menggapai potensi antarabangsa. Pada 2023, kadar sumbangan industri halal kepada KDNK direkodkan pada kadar 7.9 peratus dengan jumlah eksport produk halal adalah sebanyak RM53.72 bilion berbanding jumlah keseluruhan eksport negara yang berjumlah RM1.426 trilion," katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan KKDW di sini, hari ini.

Menurutnya, tiga lagi agenda utama lain iaitu memperkasa agenda huffaz negara, menyantuni agenda kongres ekonomi Bumiputera (KEB) dan menyelami nadi ekonomi gig negara.

Menurutnya, MARA juga bukan saja terbabit dalam bidang konvensional tetapi turut aktif dalam industri berimpak tinggi dan berinovatif seperti bidang automatif, EV dan AI.

"Dalam bidang keusahawanan, MARA kini bergiat aktif menembusi pasaran global dan membangun usahawan digital.

"Begitu juga dalam aspek pendidikan, MARA terus menjadi peneraju dengan melahirkan siswazah yang kebolehpasarannya kini mencecah 97.5 peratus (2023), melepasi kadar purata nasional sebanyak 89.8 peratus.

"Ini membuktikan produk anak didik MARA berada di landasan yang betul, selain itu, MARA sudah menambahbaik ekosistem bidang pelaburan melalui anak syarikatnya.

"MARA Corp dan Mara Liner contohnya, menjalinkan kerjasama dengan syarikat gergasi China untuk memangkin usaha niaga baharu yang dapat membuka laluan luas untuk melahirkan syarikat Bumiputera yang berdaya maju dan kompeten," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Julai 2024 @ 12:05 PM