SITI Norelyana (kiri) dan lokasi kejadian. FOTO Ihsan Pembaca
SITI Norelyana (kiri) dan lokasi kejadian. FOTO Ihsan Pembaca
Hidayatidayu Razali


Kota Bharu: Wanita yang cedera parah selepas dirempuh balak yang tergolek di lampu isyarat dekat Persimpangan Bendahara, dekat Gua Musang, Selasa minggu lalu menunjukkan perkembangan yang positif.

Kakak mangsa, Roslinda Jusoh, 40, berkata adiknya, Siti Norelyana Kamaruzaman, 21, menunjukkan tindak balas yang baik apabila menggerakkan tangan dan membuka mata apabila dipanggil.

Katanya, adiknya itu dalam keadaan separa sedar sejak semalam dan masih dalam pemantauan doktor di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II).

"Doktor memaklumkan adik kritikal berikutan beberapa organ dalamannya yang cedera, namun kami bersyukur kerana keadaannya yang semakin baik dan mula memberi tindak balas positif.

"Kami sekeluarga berharap adik pulih sepenuhnya dalam masa terdekat," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Menurutnya, setakat ini doktor memaklumkan tidak akan melakukan sebarang pembedahan ke atas adik, namun akan memberitahu perkembangan dari semasa ke semasa.

"Kami bersyukur kerana semua ahli keluarga termasuk tunang adik, Nik Amnan Arif Nik Anuwar, 22, sentiasa memberi sokongan dengan mengikuti perkembangan adik setiap hari," katanya.

Terdahulu media melaporkan seorang wanita cedera parah dirempuh kayu balak dari lori yang terbalik di Persimpangan Bendahara, Jalan Gua Musang-Kuala Krai, jam 11.23 pagi kejadian Selasa minggu lalu.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo dilaporkan berkata, penyambung atau cakera putar (turn table) pada lori yang patah ketika melalui selekoh dipercayai menjadi punca kayu balak terjatuh dan tergolek sebelum merempuh seorang penunggang motosikal wanita.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Julai 2024 @ 11:58 AM