HELMI memiliki kelebihan dalam memburu takhta juara CP150 musim 2020. FOTO Ihsan Cub Prix Malaysia
HELMI memiliki kelebihan dalam memburu takhta juara CP150 musim 2020. FOTO Ihsan Cub Prix Malaysia

Sepang: Mohd Helmi Azman dari pasukan Hi Rev SCK Honda Racing mengambil alih kedudukan pendahulu kejuaraan CP150 apabila berjaya mencatat kemenangan keempat musim ini di pusingan ketujuh Kejuaraan Cub Prix Malaysia di Litar Utara Sepang. 

Kemenangan pelumba Honda itu dicapai dalam keadaan mencabar akibat hujan lebat yang turun di pertengahan perlumbaan sepanjang 11 pusingan perlumbaan.

Persaingan sengit antara 15 pelumba dalam kelompok hadapan sangat sengit apabila Ahmad Afif Amran dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha-CKJ Racing terjatuh pada pusingan terakhir. 

Insiden memberi ruang kepada Helmi memecut ke garisan penamat, diikuti rapat oleh Mohd Affendi Rosli yang mewakili pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha-CKJ Racing.Tempat ketiga milik pelumba IPONE Yamaha YY Pang Racing Team, Mohd Izzat Zaidi Salehan. 

"Keadaan litar pada perlumbaan tadi memang mencabar dengan keadaan cuaca yang tidak menentu. Berbekalkan pengalaman saya di litar Sepang ini, saya cuma menumpukan perhatian sepenuhnya agar tidak 'terperangkap' terutamanya di selekoh-selekoh yang licin dan rumit," kata Helmi. 

Kemenangan ini turut memberikan kelebihan kepada Helmi dalam buruan takhta juara CP150 musim 2020.

Pesaing terdekat Helmi, Azroy Hakeem Anuar menamatkan perlumbaan Pusingan 7 di tempat keempat.

Jurang antara Helmi dan Azroy di tangga kejuaraan kini adalah sebanyak 12 mata kejuaraan. 

Berbekalkan 132 mata kejuaraan di tangga teratas CP150, Helmi akan memerlukan sekurang-kurangnya satu lagi keputusan podium dari perlumbaan penutup tirai Pusingan kelapan untuk menjulang piala musim ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Disember 2020 @ 11:07 PM