Lando Norris. FOTO McLaren
Lando Norris. FOTO McLaren
Agensi

Paris: Lando Norris akan mengurangkan pengambilan makanan pizza sementara dalam usaha mengekalkan bentuk badan ideal bagi musim baharu Formula Satu (F1).

Pelumba Britain berusia 21 tahun itu, memasuki musim ketiga di F1 akan bersama rakan sepasukannya yang baharu, Daniel Ricciardo di McLaren.

Norris berjanji pendekatan lebih matang pada perlumbaan musim ini dan memberitahu dia bergelut dengan motivasi untuk meluangkan masa di gimnasium sebelum berjaya mengatasinya.

"Saya cuba lebih tegas dengan beberapa perkara, sama ada ia membabitkan makanan dan cuba untuk tidak makan terlalu banyak pizza.

"Saya masih boleh mengambil makanan itu kemudian, kerana perlu memberi tumpu kepada aspek fizikal. Saya cuba meluangkan masa di gim disebabkan saya cukup sukar melakukan rutin itu.

"Saya sedar saya berada dalam saingan F1. Saya sangat berbangga dapat bersaing dalam arena perlumbaan yang penuh mencabar ini.

"Saya akui sukar memotivasikan diri sendiri, jadi saya cuba banyak perkara dan memaksa diri saya mengharungi detik yang saya benci kerana saya percaya perkara baik akan hadir selepas melakukan pengorbanan."

"Saya yakin dapat bersedia sepenuhnya dari segi fizikal dan mental sebelum perlumbaan sebenar."

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Februari 2021 @ 11:00 AM