NG Eain Yow. FOTO ASYRAF HAMZAH
NG Eain Yow. FOTO ASYRAF HAMZAH
Aida Adilah Mat


Putrajaya: Jika selama ini kekangan kewangan menjadi antara penghalang buat atlet skuasy negara, tapi kini empat pemain yang berada di bawah Program Fast Track Road to Gold (RTG) boleh menarik nafas lega.

Empat pemain berkenaan adalah terdiri S Sivasangari, Aifa Azman, Aira Azman dan Ng Eain Yow yang mana mereka kini hanya dipertanggungjawabkan untuk fokus kepada latihan dalam misi memburu emas di Sukan Olimpik 2028 di Los Angeles, Amerika Syarikat (AS).

Keempat-empat mereka tidak lagi perlu memikirkan perihal kewangan yang sebelum ini menjadi kekangan perkembangan permainan mereka.

Perkara itu nyata memberi khabar gembira buat Eain Yow yang mempunyai misinya apabila musim baharu skuasy akan membuka tirainya bermula Ogos hingga Mac tahun depan.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada kementerian (Belia dan Sukan) dan MSN (Majlis Sukan Negara) kerana memenuhi keperluan kami.

"Jika sebelum ini ada kalanya saya terpaksa menggunakan duit sendiri apabila menjalani latihan di luar negara tapi sekarang ini tidak lagi.

"Memang sebelum ini masalah duit ini antara yang menjadi penghalang tapi saya lega apabila untuk tempoh empat tahun akan datang ini tidak lagi perlu memikirkan perkara itu," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Terdahulu Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh memaklumkan setiap permintaan empat atlet yang berada di bawah program itu akan dipenuhi termasuk membabitkan penyertaan di antara 12 hingga 16 kejohanan terpilih, bantuan kejurulatihan khusus, peralatan latihan dan pemulihan, perkhidmatan sokongan perubatan dan sains sukan, pendedahan latihan luar negara serta khidmat kepakaran teknikal.

Ia selaras dengan misi untuk mereka membawa pulang emas di LA 2028.

Bagaimanapun bantuan berkenaan datang dengan bersyarat yang mana dalam tempoh sebelum LA 2028 mereka perlu memperbaiki kedudukan ranking selain meraih pingat di temasya Sukan Asia dan Komanwel yang akan datang.

Berdasarkan kedudukan ranking yang dikeluarkan oleh Jelajah Dunia Persatuan Skuasy Profesional (PSA), Sivasangari mendahului senarai pemain terbaik negara iaitu menduduki ranking ke-10 dunia. Diikuti Eain Yow (13), Aifa (36) dan Aira (37).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Julai 2024 @ 4:17 PM