FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Nor Fazlina Abdul Rahim


Kota Bharu: Ketua Pemuda Umno Kelantan Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani dikatakan calon yang akan dipilih oleh Umno untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri pada bulan depan.

Mohd Azmawi yang juga Ketua Pemuda Umno Gua Musang antara tiga nama calon yang sebelum ini dihantar kepada pucuk pimpinan untuk dipertimbangkan selain dua lagi nama lain iaitu Ketua Penerangan Umno Gua Musang Amran Arifin dan Ketua Wanita Umno Gua Musang Nor Fadzlete Aryani Mat Rosli.

Pemilihan Mohd Azmawi diperkuatkan lagi dengan kenyataan Tengku Razaleigh Hamzah baru-baru ini yang memaklumkan calon muda mampu mengembalikan semula kerusi DUN Nengiri bulan depan.

Sumber berkata, Mohd Azmawi adalah pilihan Tengku Razaleigh dan dipersetujui oleh pimpinan Umno Bahagian Gua Musang.

"Apa yang boleh dikatakan setakat ini calon yang dipilih adalah Mohd Azmawi. Namun sebarang kemungkinan boleh berlaku selagi tiada pengumuman rasmi.

"Kita juga yakin dengan jawatan Mohd Azmawi sebagai Ketua Pemuda Umno Kelantan dan Gua Musang, ia mampu mengembalikan semula kerusi DUN Nenggiri," katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, Mohd Azmawi ketika dihubungi enggan mengulas berhubung perkara itu.

Terdahulu media melaporkan, calon Umno yang akan bertanding bagi kerusi DUN Nenggiri adalah seorang anak tempatan dan mempunyai jawatan dalam parti.

Tanpa menamakan individu itu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, calon berkenaan akan diumumkan pada masa terdekat.

Presiden Umno turut berkata, calon itu juga dikategorikan sebagai WALI merujuk kepada Winnability (boleh menang), Acceptability (kebolehterimaan) dan Likeability (disenangi).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Julai 2024 @ 3:48 PM