PELUMBA muda Britain, Lando Norris. FOTO AFP
PELUMBA muda Britain, Lando Norris. FOTO AFP
AFP

MONZA, Itali: Pelumba muda Britain, Lando Norris merealisasikan impiannya selepas mengikat kontrak bersama pasukan Formula Satu (F1) McLaren mulai 2019 menggantikan pemandu Belgium, Stoffel Vandoorne.

Norris yang menyertai dua sesi ujian di Belgium dan Itali menjadi pemandu baharu McLaren, hari ini selepas Vandoorne sah bakal meninggal pasukan F1 berkenaan.

Beliau adalah pelumba kelahiran Britain kedua menyertai F1 musim ini selepas juara dunia Lewis Hamilton.

"Untuk dinamakan sebagai pelumba McLaren umpama mimpi menjadi kenyataan. Ini adalah detik istimewa buat saya kerana berjaya menjadi sebahagian daripada pasukan ini dan harapan saya kini sudah menjadi realiti.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada seluruh pasukan kerana memberikan peluang luar biasa dan mempercayai saya.

"Saya juga berterima kasih kerana komitmen diberikan McLaren untuk meningkatkan kerjaya dan menimba pengalaman menguji jentera F1 dalam dua perlumbaan, sebelum ini.

"Saya juga akan bekerjasama rapat dengan McLaren dalam setiap peluang belajar dan menimba pengalaman daripada pelumba, jurutera dan mekanik sebagai persediaan untuk tahun depan," kata Norris. 

Norris bakal menjadi muka baharu dalam pasukan McLaren bersama pelumba Sepanyol, Carlos Sainz Jr yang menandatangani kontrak bulan lalu untuk menggantikan tempat Fernando Alonso yang mengumumkan persaraannya selepas 17 tahun terbabit dengan F1.

Norris menjadi sebahagian daripada peserta di bawah program pelumba muda McLaren pada awal 2017 apabila secara rasmi dilantik sebagai pemandu simulasi dan ujian.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 September 2018 @ 11:38 PM