LEE Zii Jia. FOTO ASWADI ALIAS
LEE Zii Jia. FOTO ASWADI ALIAS
Aida Adilah Mat


Putrajaya: Institut Sukan Negara (ISN) bersedia memberikan segala perkhidmatan kepada semua atlet yang bertanding di Sukan Olimpik Paris 2024 termasuklah kepada pemain badminton perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia.

Biarpun Zii Jia tidak berada di bawah program Road To Gold (RTG), Ketua Pegawai Eksekutif ISN, Ahmad Faedzal Ramli berkata, ISN tiada masalah untuk memberikan khidmat terbaik buat semua atlet yang bertanding di Paris 2024 nanti.

Perkara itu susulan permintaan Zii Jia menerusi Chef de Mission, Datuk Hamidin Mohd Amin untuk mendapatkan tambahan dua kad akreditasi bagi membawa pakar fisioterapinya dan seorang rakan sepelatih.

Namun hingga kini masih belum menerima sebarang maklum balas berhubung permintaan itu.

"ISN bersedia untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada semua atlet di Paris 2024 dan ia terbuka kepada semua atlet negara baik di Olimpik dan Paralimpik. Ini adalah polisi yang sudah lama kami amalkan.

"Tiada masalah jika Zii Jia ingin menggunakan perkhidmatan kami (ISN). Namun ia hanya boleh digunakan dalam tempoh tertentu kerana pegawai fisioterapi kami tidak dibenarkan ke gelanggang pertandingan kerana perlu mengikut peraturan yang ditetapkan oleh tuan rumah," katanya.

ISN akan menyediakan klinik di perkampungan sukan dan Team Malaysia House yang akan dibuka dari pagi hingga ke malam dengan perkhidmatan yang disediakan termasuk perubatan sukan, pemulihan, serta nasihat pemakanan dan psikologi kepada atlet negara.

Faedzal menjelaskan sebanyak 20 orang pegawai perubatan disediakan ISN untuk memberikan perkhidmatan sokongan kepada kesemua 26 atlet negara yang akan beraksi di Paris tanpa sebarang diskriminasi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Julai 2024 @ 3:54 PM