Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.
Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.
Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Kuala Lumpur: Ahli Parlimen Machang dari Perikatan Nasional (PN) Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal digantung daripada menghadiri sidang Dewan Rakyat selama enam bulan bermula hari ini.

Ia susulan dakwaannya mengenai surat layang yang dikatakan mengandungi maklumat berkaitan dalang sebenar di sebalik pengambilalihan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).

Usul itu terdahulu dikemukakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said yang diluluskan melalui undi belah bahagi.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul ketika mengumumkan keputusan itu memaklumkan, seramai 110 Ahli Parlimen bersetuju, manakala 63 tidak bersetuju dengan usul berkenaan selepas ia dibahaskan oleh beberapa Ahli Parlimen pembangkang dan kerajaan.

Sebaik sahaja keputusan itu diumumkan, Ahli Parlimen PN turut membaca doa Qunut Nazilah yang diketuai oleh Ahli Parlimen Jasin, Zulkifli Ismail.

Terdahulu semasa membacakan usulnya, Azalina mencadangkan agar Wan Ahmad Fayhsal digantung kerana surat layang yang dibangkitkan itu tidak dapat dikenal pasti identiti pengadu dan kesahihan maklumatnya.

Selain itu katanya, ia bukan saja memberi kesan buruk kepada individu yang didakwa tetapi juga secara umum kepada pegawai agensi di bawah kementerian, yang mungkin teraniaya kerana tuduhan tidak berasas itu.

Azalina berkata, Ahli Parlimen tidak boleh menyebut kelakuan atau sifat mana-mana pegawai kerajaan, selain dalam menjalankan urusannya sebagai pegawai kerajaan.

Dakwaan Wan Ahmad Fayhsal juga disifatkan satu perbuatan yang seolah-olah menjatuhkan martabat pegawai agensi di bawah kementerian yang bertungkus lumus dalam membantu anggota pentadbiran dalam membangunkan Malaysia, selain mengeluarkan kenyataan dan dakwaan yang serius serta bertindak membangkitkan perasaan melawan kuasa kerajaan.

Beberapa Ahli Parlimen blok kerajaan dan pembangkang turut membahaskan usul berkenaan.

Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) membangkitkan persoalan mengenai surat layang itu sama ada dianggap mengucapkan perkataan derhaka kepada negeri.

"Adakah itu perkataan, dokumen yang membangkitkan perasaan melawan kuasa kerajaan? Adakah itu merupakan satu perkara yang bersakit, bermusuhan antara kaum?

"Tidak ada. Di dalam pertuduhan ini, ia mempunyai elemen yang menjurus kesalahan sama ada di bawah sama ada 36 (9) atau 36 (10).

"Ada perkara yang perlu diteliti oleh Speaker dan ada jalan keluar diberikan undang-undang kepada Tan Sri Speaker," katanya.

Azli Yusof (PH-Shah Alam) pula menyatakan isu dicetuskan oleh Wan Ahmad Fayhsal itu adalah serius dan akan menjatuhkan maruah individu dituduhnya menjadi dalang dalam pemilikan saham MAHB.

Selain itu katanya, surat layang yang dinyatakan oleh Wan Ahmad Fayhsal dalam perbahasannya turut akan menjejaskan kredibiliti dan integriti penjawat awam di negara ini.

"Ia menjejaskan maruah, kredibiliti, integriti dan mereka yang bekerja dalam agensi kerajaan mahupun berkanun," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Julai 2024 @ 2:57 PM