NORRIS (kanan) dan Sainz di samping jentera MCL34 yang akan dipandu musim ini. - FOTO Agensi
NORRIS (kanan) dan Sainz di samping jentera MCL34 yang akan dipandu musim ini. - FOTO Agensi
AFP

LANDO Norris yang muncul pemandu termuda Britain dalam Formula Satu apabila musim membuka tirai di Australia Mac depan menyatakan dia berharap dapat menangani tekanan berlumba dengan pasukan bersejarah McLaren.

Pemandu berusia 19 tahun itu memikul bebanan besar selepas dipilih sebagai pengganti juara dunia dua kali dari Sepanyol, Fernando Alonso, yang meninggalkan pasukan itu hujung musim lalu.

Norris dan rakan sepasukan dari Sepanyol, Carlos Sainz berdepan cabaran getir musim ini.

McLaren menang kejuaraan pengeluar kali terakhir pada 1998 dan berakhir di tangga kesembilan dalam dua daripada empat kejuaraan terakhir.

“Saya perlu bertindak baik selaras dengan sejarah McLaren,” kata Norris pada majlis pelancaran jentera 2019 MCL34 di Woking, England, semalam.

“Ada banyak bebanan buat saya. Saya akan cuba memberi tindak balas positif dan berharap mempunyai karier yang panjang dalam Formula Satu.”

Norris berkata, untuk mengembalikan McLaren ke zaman kegemilangan, dia dan Sainz yang berusia 24 tahun dan mempunyai pengalaman empat tahun dalam F1, perlu bekerjasama.

“Bekerjasama jika kami mahu kembali memenangi perlumbaan. Untuk meraih kejuaraan bersama McLaren, amat penting Carlos dan saya berganding bahu,” kata Norris.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Februari 2019 @ 12:10 AM