JASRI Kasim. FOTO Siti Rohana Idris
JASRI Kasim. FOTO Siti Rohana Idris
Siti Rohana Idris


Kota Bharu: Kerajaan meluluskan 92 projek baharu membabitkan peruntukan RM2.81 bilion di Kelantan di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) menerusi Rolling Plan Keempat 2024.

Pengarah Pembangunan Negeri Kelantan (ICU JPM) Jasri Kasim berkata, daripada jumlah projek baharu itu, 16 daripadanya bersifat mega kerana membabitkan kos lebih RM35 juta untuk setiapn satu projek.

"Antara projek berkenaan adalah Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) - Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Kota Bharu, PLSB Sungai Golok Fasa 3, kerja awalan menaik taraf jalan di Bandar Baru Tunjong serta pembinaan blok Patologi Tambahan Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II).

"Ia termasuk juga projek menaik taraf jalan dari Simpang Batu Empat sehingga ke Simpang Salor, pembinaan baharu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Binjai, Kota Bharu yang mengandungi 36 bilik darjah serta kemudahan lain dan membina sistem Bekalan Air Luar Bandar (BALB) di Manek Urai dan Laloh, Kuala Krai.

"Sebahagian projek itu sudah memulakan kerja berkaitan termasuk penyediaan tender serta reka bentuk," katanya selepas majlis Apresiasi Pejabat ICU JPM di sini, hari ini.

Jasri berkata, secara keseluruhan sebanyak 445 projek diletakkan di bawah Rolling Plan itu dengan 353 adalah projek sambungan, manakala 92 pula projek baharu.

Menurutnya, setakat ini 47.72 peratus atau kira-kira RM1.1 bilion peruntukan sudah dibelanjakan.

Dalam perkembangan lain, Jasni memaklumkan bahawa Hospital Bachok yang menelan kos RM183.9 juta dijangka memulakan operasi tahun ini bergantung kepada kelulusan Kementerian Kesihatan (KKM).

"Difahamkan, Jabatan Kerja Raya (JKR) sudah meluluskan sijil perakuan siap kerja (CPC) dan akan dibuka tahun ini tertakluk kepada KKM.

"Ia akan memberi manfaat kepada seluruh rakyat Bachok sekali gus mengurangkan kesesakan di HRPZ II serta hospital sekitar," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Julai 2024 @ 3:59 PM