NORDE anggap pertemuan separuh akhir pertama menentang JDT malam esok bakal menentukan laluan ke final Piala FA. FOTO KDA FC
NORDE anggap pertemuan separuh akhir pertama menentang JDT malam esok bakal menentukan laluan ke final Piala FA. FOTO KDA FC
Izzali Ismail


Alor Setar: Kapten Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Sony Norde yakin perancangan ketua jurulatih, Nafuzi Zain mampu menghasilkan keputusan positif pada aksi separuh akhir pertama Piala FA menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Darul Aman, malam esok.

Menurutnya, KDA FC kini berada dalam momentum terbaik selepas layak ke separuh akhir Piala FA dengan mengenepikan Penang FC secara agregat 1-0 pada saingan suku akhir.

"Kini kami mahu meneruskan impian dalam saingan Piala FA dan mahu terus berjuang sebaik mungkin pada peringkat separuh akhir pula.

"Kami akan menentang pasukan serba lengkap JDT yang kami dan semua penyokong jangkakan ia cukup mencabar.

"Semua pemain perlu bersedia pada tahap terbaik bersandarkan persiapan kami dan tunjukkan kemampuan sebenar apabila sampai ke tahap separuh akhir ini.

"Berbekalkan keazaman tinggi dan percaturan jurulatih diharap kami laksanakan dengan teratur sepanjang 90 minit perlawanan di hadapan penyokong sendiri," katanya.

Norde berkata, aksi separuh akhir ini adalah misi cukup mencabar buat semua pemain dan mereka akan berjuang kerana aksi pertama ini bakal menentukan laluan ke final.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Julai 2024 @ 3:01 PM