Enam orang OKT dibawa oleh pegawai SPRM untuk didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas kesalaham menyogok penguat kuasa. FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN
Enam orang OKT dibawa oleh pegawai SPRM untuk didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas kesalaham menyogok penguat kuasa. FOTO EIZAIRI SHAMSUDIN
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Enam individu termasuk seorang warga asing didenda RM6,000 hingga RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menyogok penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sebagai balasan bagi melindungi aktiviti perniagaan warga asing yang menggunakan lesen Ali Baba di ibu negara.

Semua tertuduh iaitu Romzi Abidin, 53, Azhar Abu Bakar, 59, Idrus Muhammad, 38, K Punithan, 43; pemastautin tetap (PR) Jamaludin Asim, 58, dan pemilik restoran yang juga warga China, Teng Hui, 52, ditahan dalam Operasi Khas Op Star oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Di hadapan Hakim Suzana Hussin, tertuduh yang juga bekas tentera, Romzi didenda RM8,000 manakala dua lagi tertuduh Azhar dan Idrus masing-masing didenda RM6,000.

Sementara di hadapan Hakim Rozina Ayob, tiga lagi tertuduh iaitu Punithan dan Jamaludin Asim didenda RM8,000 manakala Teng Hui didenda RM10,000.

Semua tertuduh didenda selepas mereka mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan yang didakwa ke atas mereka.

Sekiranya enam tertuduh gagal membayar jumlah denda itu mereka boleh dipenjara antara tiga minggu dan tiga bulan.

Mengikut pertuduhan, keenam-enam tertuduh didakwa memberi rasuah kepada Mohd Zahaymie Zakaria yang juga Pembantu Penguatkuasa KP19 yang bertugas di Seksyen Integriti dan Standard DBKL.

Wang rasuah yang diberi antara RM200 hingga RM500 itu sebagai balasan dan dorongan untuk tidak mengambil tindakan sita di bawah kesalahan seksyen 101 (1)(v), Akta Kerajaan Tempatan 1976 terhadap premis iaitu atas kesalahan tidak mempunyai lesen perniagaan, menggaji pekerja warga asing dan tidak mempunyai permit sah bekerja bagi warga asing.

Kesemua kesalahan itu dilakukan di beberapa premis di Jalan Pudu dan Jalan Imbi di sini antara 18 Oktober 2022 hingga 18 Julai 2023.

Justeru, pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 214 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda atau kedua-duanya sekiranya disabitkan kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Irna Julieza Maaras dan Pegawai Pendakwa SPRM Mohamad Ashraf Mustafa dan Afiqah Ab Razak memohon mahkamah mengenakan hukuman berat dengan mengambil kira keseriusan kes dan isu lesen Ali Baba.

Bagaimanapun semua tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan dikenakan dengan alasan masing-masing mempunyai tanggungan keluarga.

Semalam, Harian Metro melaporkan SPRM menahan lima warga tempatan, dua warga asing dan seorang pemastautin tetap (PR) kerana disyaki menyogok penguat kuasa sebagai balasan bagi melindungi aktiviti perniagaan warga asing yang menggunakan lesen Ali Baba di ibu negara.

Kesemua suspek membabitkan enam lelaki dan dua wanita berusia lingkungan 30 hingga 50-an ditahan dalam operasi khas Op Star dijalankan SPRM yang turut mendapat kerjasama daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Operasi selama tiga jam bermula 11.30 pagi itu diadakan bersama pegawai dan anggota SPRM Kuala Lumpur serta DBKL yang turut mengeluarkan kompaun atas kesalahan dilakukan premis yang diperiksa.

Tindakan diambil susulan pendedahan eksklusif Harian Metro bermula 7 Jun lalu di muka depan bertajuk Wang Ekspres dan satu lagi Ali Baba kebal yang disiarkan pada 16 Julai lalu mendedahkan warga asing mendominasi perniagaan di Lembah Klang dan berselindung di sebalik lesen warga tempatan.

Antara premis yang diperiksa dalam operasi ini membabitkan premis yang menjalankan perniagaan kedai runcit, kedai pakaian, kedai aksesori telefon, kedai makan dan kedai gunting rambut.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Julai 2024 @ 3:32 PM