Nourou Yassine, warga Maghribi mengaku bersalah atas dakwaan mencabul seorang juruterapi wanita warga tempatan, Ahad lepas, di Mahkamah Majistret hari ini. FOTO BERNAMA
Nourou Yassine, warga Maghribi mengaku bersalah atas dakwaan mencabul seorang juruterapi wanita warga tempatan, Ahad lepas, di Mahkamah Majistret hari ini. FOTO BERNAMA
Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Terengganu: Pelancong Maghribi mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini kerana mencabul seorang juruterapi spa di sebuah resort di Pulau Perhentian di Besut.

Tertuduh, Nourou Yassine, 23, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nik Mohd Tarmizie Nik Mohd Shukri.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap mangsa yang berusia 19 tahun dengan niat untuk mencabul kehormatannya.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah resort pada 9.15 malam, 14 Julai lalu.

Tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan berdepan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan.

Mahkamah kemudian menetapkan 6 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk fakta kes dan hukuman di Mahkamah Majistret Besut.

Tertuduh juga dibenarkan diikat jamin RM8,000 dengan dua orang penjamin warga tempatan.

Tertuduh turut dikenakan syarat tambahan iaitu perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran pada setiap satu hari bulan dan menyerahkan pasport kepada pihak mahkamah sehingga kes selesai.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Rabiatul Addawiah Mohd Noorlee, manakala tertuduh diwakili Muhammad Izzat Norizam.

Media sebelum ini melaporkan pelancong Maghribi terbabit ditahan polis selepas disyaki melakukan perbuatan itu.

Mangsa mendakwa dicabul ketika memberi perkhidmatan urutan kepada lelaki terbabit yang berusia lingkungan 20-an.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Julai 2024 @ 3:02 PM