PASUKAN penguatkuasa KPDN Kelantan membuat pemeriksaan di sebuah premis menjual ayam proses di Kampung Kedai Lalat. FOTO ihsan KPDN
PASUKAN penguatkuasa KPDN Kelantan membuat pemeriksaan di sebuah premis menjual ayam proses di Kampung Kedai Lalat. FOTO ihsan KPDN
Siti Rohana Idris


Kota Bharu: Premis menjual ayam proses di Kampung Kedai Lalat di sini, diserbu pihak berkuasa kerana menggunakan alat timbang elektronik yang tidak ditentusahkan.

Sepasukan penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) melakukan penyamaran sebagai pelanggan dan membuat uji beli sebelum mendapati berlaku kesalahan dari segi timbangan.

Pengarah KPDN Kelantan Azman Ismail berkata, serbuan dibuat pada petang kelmarin selepas menerima aduan orang ramai yang memberitahu berlaku kekeliruan dari segi harga dan timbangan ayam proses dibuat oleh pekerja di premis terbabit.

"Pasukan kami menyamar sebagai pembeli dan selepas uji beli dibuat, kami dapati alat timbang elektronik yang digunakan tidak ditentusahkan.

"Satu tindakan kes diambil mengikut Akta Timbang dan Sukat 1972 dan satu unit alat timbang elektronik disita," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Azman berkata, premis itu mempunyai beberapa cawangan dan pihaknya sebelum ini sudah mengambil tindakan yang sama di cawangan lain namun mendapati kesalahan yang sama masih berlaku.

Katanya lagi, siasatan lanjut akan dijalankan sama ada pemilik premis akan dikenakan kompaun atau denda mahkamah.

"Kami menyeru kepada semua peniaga agar tidak memanipulasi pengguna serta sentiasa mematuhi perundangan yang ditetapkan oleh KPDN.

"Sebarang aduan boleh disalurkan melalui saluran yang disediakan oleh kementerian untuk tindakan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 Julai 2024 @ 4:01 PM