HANNAH (tengah) bergambar bersama peserta selepas merasmikan Program Senaman Warga Emas 2024 di Taman Rakyat, Taman Sri Andalas hari ini. FOTO BERNAMA
HANNAH (tengah) bergambar bersama peserta selepas merasmikan Program Senaman Warga Emas 2024 di Taman Rakyat, Taman Sri Andalas hari ini. FOTO BERNAMA
Syazwan Msar


Klang: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mahu budaya sukan di kalangan warga emas di negara ini dilaksanakan secara lebih kerap dan tersusun.

Hal ini kerana, menurut Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh, sekiranya berjaya menyerapkan gaya hidup aktif dalam kalangan warga emas, ia dapat membantu mengurangkan risiko penyakit sekali gus meningkatkan kadar kesihatan golongan terbabit.

"Saya rasa setiap warga emas yang menyertai program kita, dapat mengeluarkan peluh.. tidak kiralah apa cara mengeluarkan peluh, saya pasti apabila mereka pulang ke rumah mereka akan seronok.

"Hal ini kerana kita perlu pastikan badan lebih bertenaga dan mahu mereka (warga emas) terus menyertai program yang disediakan percuma," katanya selepas melancarkan Program Senaman Warga Emas 2024 di Taman Rakyat, Taman Sri Andalas, di sini, pagi tadi.

Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Sukan) JBSN, Abd Aziz Abd Rahman dan Pengarah JBSN Selangor, Azura Sarbin.

Beliau berkata, Program Senaman Warga Emas pertama di Klang itu akan dikembangkan dan diperkukuh menerusi jaringan kerjasama antara agensi kerajaan dan swasta serta penglibatan Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), pertubuhan bukan kerajaan (NG), badan sukan dan persatuan penduduk.

Menurutnya lagi, penganjuran program terbabit menjurus kepada pemerkasaan pembangunan sukan untuk semua, seiring dengan kerangka Malaysia Madani dan Visi Sukan Negara 2030.

"Selain itu, kita juga sudah melancarkan program senamrobik percuma di 43 lokasi di seluruh Program Perumahan Rakyat (PPR) di seluruh Wilayah Persekutuan seminggu sekali, malah PPR di Perlis juga sudah kita lancarkan.

"Kita laksanakan di PPR kerana mahu pastikan kebolehcapaian sampai kepada golongan B40.

"Kerajaan menanggung semua kos dan mahukan warga emas mengambil bahagian. Kita yakin apabila warga emas kita aktif, kerajaan tidak perlu mengeluarkan banyak kos rawatan," katanya.

Beliau berkata, pelaksanaan fasa kedua program terbabit akan dilancarkan pada Ogos depan membabitkan 70 lokasi di seluruh negara.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Jun 2024 @ 4:07 PM