Ekhwan Haque Fazlul Haque

Kuala Lumpur: "Saya bersyukur kerana penantian untuk disuntik vaksin Covid-19 akhirnya tertunai," kata Yaakob Hassan, 75.

Warga emas itu antara ribuan penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR) Pantai Ria, di sini, yang menerima suntikan vaksin, hari ini.

Menurutnya, walaupun timbul pelbagai khabar angin mengenai vaksin Covid-19 namun dia tetap komited mendapatkan perlindungan diri daripada dijangkiti wabak itu.

Menurutnya, dia menerima panggilan untuk disuntik dua hari lalu dan tidak mahu melepaskan peluang mendapatkannya kerana khuatir risiko dijangkiti khususnya kerana statusnya warga emas.

"Saya berharap vaksin ini dapat meningkatkan daya tahan tubuh dan dihindari daripada wabak ini.

"Program yang dilaksanakan Kementerian Wilayah Persekutuan ini membantu mempercepatkan giliran suntikan untuk warga emas," katanya ketika ditemui dalam Program Vaksinasi Bergerak di PPR Pantai Ria, hari ini.

Warga emas hadir untuk mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 menerusi Projek Rintis Trak Vaksin Bergerak MyMedic@ Wilayah di PPR Pantai Ria, Lembah Pantai. FOTO AZIAH AZMEE
Warga emas hadir untuk mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 menerusi Projek Rintis Trak Vaksin Bergerak MyMedic@ Wilayah di PPR Pantai Ria, Lembah Pantai. FOTO AZIAH AZMEE

Dalam program itu, penduduk warga emas di PPR Pantai Ria diberikan suntikan vaksin Covid-19 selama tiga hari bermula hari ini.

Program berkenaan menyasarkan 1,547 warga emas di PPR berkenaan untuk mendapatkan suntikan.

Sementara itu, Penasihat Majlis Perwakilan Penduduk Lembah Pantai Datuk Ramlan Askolani berkata, program berkenaan memberi tumpuan kepada warga emas, orang kurang upaya (OKU) dan petugas barisan hadapan.

Beliau berkata, program berkenaan menyasarkan 600 warga emas, OKU dan petugas barisan hadapan disuntik setiap hari.

"Warga emas, OKU dan petugas barisan hadapan menjadi golongan berisiko dijangkiti Covid-19 dan mereka perlu menerima suntikan secepat mungkin.

"Persatuan penduduk juga membantu mendaftarkan warga emas yang tidak mempunyai MySejahtera agar tidak terlepas daripada menerima suntikan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan
  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Jun 2021 @ 1:10 PM