HANNAH bergambar pada majlis pelancaran Program Senamrobik Komuniti Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 2024. FOTO IHSAN KBS
HANNAH bergambar pada majlis pelancaran Program Senamrobik Komuniti Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 2024. FOTO IHSAN KBS
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) melancarkan Program Senamrobik Komuniti yang akan memberi tumpuan kepada 43 Projek Perumahan Awam (PPR) dan Perumahan Awam (PA) sekitar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Ia adalah inisiatif KBS bagi memastikan gaya hidup sihat di kalangan rakyat dan akan dianjurkan secara percuma oleh KBS menerusi Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN).

Sebanyak RM430,000 diperuntukkan bagi 43 kawasan untuk tempoh setahun.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh yang ditemui selepas melancarkan Program Senamrobik Komuniti Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 2024 di Dataran Perumahan Awam Seri Selangor, Cheras, hari ini berkata, pembayaran yuran untuk 'trainer' (jurulatih) akan ditanggung sepenuhnya oleh KBS dan perkhidmatan ini diberikan percuma sepanjang tahun.

"Kejayaan program ini sangat bergantung kepada persatuan penduduk dan rukun tetangga dan juga Ahli Parlimen masing-masing untuk memastikan program ini dapat berjalan setiap minggu.

"Saya harap warga emas khususnya boleh mempunyai gaya hidup sihat. Kalau kita lihat 'trainer' yang bersama dengan kami ini mempunyai pengetahuan meluas mengenai senamrobik dan kita pastikan ia sesuai untuk semua lapisan umur. Tak kira kanak-kanak ataupun warga emas," katanya.

Bagi memastikan semua PPR dan PA mengambil bahagian, Hannah membuat tawaran dengan menawarkan hadiah RM20,000 kepada persatuan penduduk yang aktif.

Antara objektif Program Senamrobik Komuniti bertujuan untuk menyemai pembudayaan sukan dalam kalangan masyarakat bagi menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara bersukan selain memperkukuhkan jaringan kerjasama antara agensi kerajaan dan swasta serta pembabitan NGO belia, Sukan dan Gabungan Majlis Persatuan Penduduk.

Program akan diadakan secara mingguan (hujung minggu) di setiap 43 buah PPR/PA di seluruh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bermula pada bulan ini sehingga Disember 2024 dengan pengisian 44 buah siri senamrobik secara percuma di lokasi berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Mac 2024 @ 6:10 PM