Adam Adli melakukan simbolik perasmian pada Majlis Pra-Pelancaran HBN di pekarangan Menara Taming Sari. Foto Meor Riduwan Meor Ahmad.
Adam Adli melakukan simbolik perasmian pada Majlis Pra-Pelancaran HBN di pekarangan Menara Taming Sari. Foto Meor Riduwan Meor Ahmad.
Meor Riduwan Meor Ahmad


Melaka: Melaka menjadi tuan rumah Hari Belia Negara (HBN) peringkat kebangsaan yang akan diadakan di Dataran Pahlawan, Banda Hilir, di sini, selama tiga hari bermula 24 hingga 26 Mei ini.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan (KBS), Adam Adli Abd Halim berkata, pihaknya bekerjasama dengan Kerajaan Negeri Melaka dan Majlis Belia Malaysia (MBM) bagi sambutan di negeri ini dengan 73 pengisian aktiviti menarik berfokuskan 10 Gaya Hidup Rakan Muda (GHRM).

Menurutnya, mengangkat tema 'Yakin Boleh' antara aktiviti pengisian termasuk Malam Solidariti Palestin, Larian Yakin Boleh Belia Malaysia 2024, Himpunan Komuniti Belia, perkhemahan belia, Pavilion Seni Budaya Negeri-negeri, karnival kerjaya, jualan dan pameran agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan dan swasta.

Katanya, sambutan turut diserikan dengan penganjuran Kembara RIUH@HBN 2024 melalui kerjasama Kementerian Komunikasi.

"Membuka tirai sambutan, KBS menerusi Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN) juga akan mengadakan Program Semarak HBN@KBS 2024 pada 15 Mei ini di Podium A, Menara KBS, Putrajaya dengan pengisian Bacaan Ikrar Belia Negara, Konvensyen Belia Integriti Nasional dan aktiviti GHRM.

"Menerusi kerjasama strategik dengan Kementerian Pendidikan (KPM), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) pula, akan diadakan bacaan Ikrar Belia Malaysia di seluruh institusi pendidikan di bawah pentadbiran masing-masing membabitkan belia 15 hingga 30 tahun," katanya pada Majlis Pra-Pelancaran HBN di pekarangan Menara Taming Sari, di sini, hari ini.

Hadir sama, Exco Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan Melaka, VP Shanmugam; Ketua Pengarah JBSN, Mohd Azhari Mohammad serta Presiden MBM, Mohd Izzat Afifi Abd Hamid.

Adam Adli berkata, HBN adalah pengiktirafan dan penghargaan khusus diberikan kerajaan buat golongan belia yang turut memainkan peranan secara signifikan dalam arus perdana pembangunan negara.

"Kemuncak sambutan HBN adalah perasmian oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada malam 25 Mei itu bersama-sama penyampaian Anugerah Perdana Belia Negara peringkat kebangsaan.

"Penganjuran ini dijangka dihadiri seramai 30,000 belia dan mampu memperkukuh potensi modal insan belia sebagai pemacu pembangunan strategik negara dan memperluaskan akses belia sesuai dengan kerangka Malaysia Madani dan Model Pembangunan Belia Madani 2030," ujarnya.

Beliau berkata, sambutan di peringkat negeri pula akan berjalan serentak di seluruh negara dari 17 hingga 19 Mei ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Mei 2024 @ 11:03 PM