MASTER instruktor memberi tunjuk ajar langkah demi langkah Zafeena.
MASTER instruktor memberi tunjuk ajar langkah demi langkah Zafeena.
ORANG ramai turut menyertai demonstrasi Zafeena.
ORANG ramai turut menyertai demonstrasi Zafeena.
DEMONSTRASI Zafeena pertama kali dipertontonkan.
DEMONSTRASI Zafeena pertama kali dipertontonkan.
ABDUL Jalil (tiga dari kiri)  bersama Dr Eliza (dua dari kiri),  Yazid (kiri sekali) dan Husain (kanan sekali).
ABDUL Jalil (tiga dari kiri) bersama Dr Eliza (dua dari kiri), Yazid (kiri sekali) dan Husain (kanan sekali).
Oleh Yusliza Yakimir Abd Talib


Zafeena? Pasti anda tertanya-tanya apakah ia kerana nama itu seolah-olah sering didengar. Jangan terperanjat, Zafeena adalah senaman kecergasan yang pertama jenama Malaysia.

Jika disebut senaman, ia adalah bentuk pergerakan badan yang memberi manfaat untuk kesihatan tubuh badan, tetapi tidak ramai yang mampu melakukannya secara berkala atas alasan sibuk, tidak ada masa atau ada perkara lain yang perlu didahulukan.

Hakikatnya, senaman adalah rutin paling mudah yang menyumbang seribu kebaikan untuk kesejahteraan hidup walaupun anda hanya melakukannya selama 30 minit setiap hari. Sama ada berjalan pantas atau melakukan pergerakan tertentu, ia sudah boleh dinamakan senaman jika anda mengeluarkan peluh.

Sehubungan itu, Zafeena Fitness (Zafeena) akan membawa identiti Malaysia ke peringkat antarabangsa dan bersaing dengan jenama senaman antarabangsa seperti Zumba (Brazil), Kpop Fitness (Korea), Masala Bhangra (Bollywood) dan sebagainya.

Lebih mengujakan, Zafeena sesuai untuk semua peringkat usia dan jantina kerana ia berfungsi menghilangkan tekanan dengan cara yang menggembirakan serta santai tanpa anda berasa terpaksa melakukannya.

Zafeena sesuai untuk semua individu dan tahap usia. Lebih tepat lagi, ia adalah untuk mereka yang ingin mengurangkan tekanan dengan tunjuk ajar pakar menerusi ilham rentak tarian zapin.

Penasihat Zafeena Fitness Tan Sri Abdul Halil Abdul Mutalib berkata, dalam menuju ke arah Wawasan 2020 dan semangat Malaysia Boleh, Zafeena merealisasikan impian itu dalam bentuk senaman kecergasan.

“Dengan kelahiran Zafeena Fitness, kombinasi sedikit elemen daripada tarian zapin dan selebihnya dalam bentuk kecergasan, kini kita mempunyai satu identiti senaman kecergasan jenama Malaysia. Inilah salah satu cara kita mengharumkan nama negara.

“Senaman ini bersesuaian untuk semua lapisan masyarakat baik daripada peringkat pelajar sekolah rendah, menengah, universiti, remaja, dewasa dan orang tua.

“Kami mahu menerapkan gaya hidup sihat dan senaman kecergasan kepada semua lapisan masyarakat. Malah kami komited dan berkeyakinan untuk membawa senaman kecergasan Zafeena Fitness ke peringkat antarabangsa.

“Kami turut melahirkan master instruktor profesional untuk mengajar senaman ini di semua peringkat umur. Zafeena Fitness juga mempunyai master instruktor termuda berumur 11 tahun, Puteri Nursyaera Ishar sekali gus membuktikan bahawa senaman ini boleh dilakukan oleh semua peringkat umur termasuk kanak-kanak,” katanya pada majlis pelancaran Zafeena Fitness di Content Malaysia Pitching Centre (CMPC) Kuala Lumpur baru-baru ini.

Pada majlis itu, lapan master instruktor Zafeena Fitness diumumkan. Turut hadir Presiden Persatuan Sukan Kecergasan Malaysia (PSKM), Yazid Abd Rani dan Ketua Pegawai Eksekutif Whosyn’ Signature Husain Khalid.

Zafeena Fitness diilham dan dilahirkan dengan kerjasama PSKM dan Whosyn’ Signature untuk membawa nama negara ke peringkat antarabangsa dengan gaya hidup sihat melalui senaman ini.

Sehubungan itu, Zafeena Fitness akan menjelajah 14 negeri untuk memperkenal senaman ini pada tahun depan. Program jelajah Zafeena Fitness disokong Universal Music Malaysia dengan membawa bersama artis mereka untuk persembahan.

Universiti Teknologi MARA (UiTM) turut memberi sokongan dengan pembabitan 200 pelajar untuk sama-sama memeriahkan program berkenaan. Pelajar ini juga akan bersama Zafeena Fitness untuk membantu pengurusan dan perjalanan program jelajah agar berjalan lancar.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Oktober 2015 @ 11:37 AM