SEMANGAT jurulatih dalam acara FitMob.
SEMANGAT jurulatih dalam acara FitMob.
Oleh Nurul Husna Mahmud


Sebut saja ‘mob’ biasanya kedengaran seperti keramaian bersama gerak tari dan iringan muzik rancak.

Namun, luar daripada kebiasaan apabila acara berkenaan mampu menampilkan pengisian berupa gerak senam kecergasan menerusi program dinamakan FitMob. Malah kini aktiviti FitMob menjadi viral.

Kombinasi aktiviti kecergasan dalam pelbagai disiplin dirangkumkan bersama formasi selama sesi senaman berlangsung. Malah dalam penganjuran The SCORE FitMob Festival 2015 sempena Hari Sukan Negara pada Oktober lalu mencapai penyertaan lebih 4,000 peserta ketika sesi berlangsung di StarXpo Centre, Kenanga Wholesale City Kuala Lumpur.

Daripada rutin seolah seni mempertahankan diri beralih kepada tarian latih dan etnik memberi pengalaman berbeza buat mereka julung kali menyertai acara berkenaan.

Tambah unik acara kemuncak kelas Les Mills Body COMBAT terbesar berjaya memecah rekod tersendiri apabila mendapat kehadiran 2,362 peminat aktiviti kecergasan sehingga tercatat dalam Malaysia Book of Records (MBOR).

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Score, Patricia Tan, selaku pe­nganjur acara berkenaan, Fitmob ialah acara terbesar dalam program kecergasan berbentuk gerakan bebas itu.

“Festival FitMob antara acara terbesar pernah dianjurkan di Malaysia dan kali ini ialah penganjuran kali kedua kita meraikan peminat aktiviti kecergasan.

“Sambutan tahun ini lebih meriah menyebabkan kami selaku penganjur berasa ia dapat dilihat memberi impak besar mengenai gaya hidup aktif dan sihat.

“Malah mereka sukakan acara ini berasa program ini antara elemen baru dalam rutin kecergasan boleh dilakukan baik bersama kenalan mahupun keluarga,” katanya.

Sesi kemuncak Les Mills Body COMBAT, seramai empat jurulatih antarabangsa diturunkan seperti Ketua Jurulatih Program S.E.A Les Mills Andre Yunes Gularte, Jurulatih Bodycombat Jon Chew, Renee Low dan Fabiana Santucci.

Peserta Muhd Amir Safwan K Sabee Mohd, berasa teruja dapat menyertai program Fitmob.

Katanya, berada dalam pesta kecergasan berbeza dengan pengalaman melakukan aerobik biasa.

“Ini kali pertama saya menyertai acara senaman seperti ini. Memang ‘havoc’ dan teruja maklumlah ia seperti satu festival besar dan sangat meriah.

“Selalunya aktiviti seperti ini dilakukan di padang dan penyertaannya tidaklah sebesar di sini. Jadi ini sesuatu menyeronokkan. Malah dengan dendangan muzik rancak, aktiviti senaman tidak terasa bosan dan sesuatu wajar dicuba buat mereka tidak suka bersenam,” katanya.

Rakannya, Azmanzaim Zulnaidi berasa rutin ditonjolkan sesuatu yang baru dan mencabar.

“Ketika cubaan memecah rekod, rutin disusun bukan senaman biasa kita lihat. Ia gabungan beberapa rutin menarik dalam seni mempertahankan diri. Ada tumbukan dan tendangan dalam rutin selama 30 minit berkenaan.

“Badan saya benar-benar lencun dengan peluh meskipun kami berlawan atas angin. Malah apabila dilakukan beramai-ramai bersama iringan lagu, tidak rasa penat serta menyeronokkan,” katanya.

Sementara itu buat peserta wanita Nur Aishah Ayub berkata, tiada keka­ngan baik wanita mahupun lelaki untuk melakukan aktiviti berkenaan meskipun ia rutin seperti seni mempertahankan diri tetapi ia bukanlah ekstrem.

“Gerakan tidak membabitkan aktiviti bergasak kerana ia satu rutin senaman biasa yang tidak mendatangkan kecederaan. Baik usia kanak-kanak sehingga peringkat warga emas boleh melakukan rutin terbabit.

Jurulatih senaman boleh membantu melatih gerakan bersesuaian untuk semua peringkat umur,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Disember 2015 @ 5:00 AM