TIMBALAN Menteri Belia dan Sukan Adam Adli.
TIMBALAN Menteri Belia dan Sukan Adam Adli.
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memberi peluang kepada golongan belia untuk menyuarakan pendapat serta pandangan mereka sebelum memuktamadkan Pelan Transisi Kepimpinan Belia bagi pelaksanaan pindaan kepada Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia 2007 [Akta 668].

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim berkata, antara kandungan utama pindaan Akta 668 merangkumi beberapa perkara antaranya had umur belia kepada 30 tahun, penetapan had umur ketua ataupun pemegang jawatan pertubuhan belia iaitu 18 hingga 30 tahun dan mengehadkan tempoh ketua pertubuhan belia selama empat tahun.

Pindaan Akta 668 sudah diluluskan di Parlimen pada 2019 dan akan berkuat kuasa 1 Januari 2026. Justeru itu, penganjuran program seperti Kembara Jumpa Orang Muda (JOM) adalah iniasiatif KBS melalui Pejabat Pendaftar Pertubuhan Belia (ROY) serta Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN) untuk orang muda menyampaikan maklum balas dan pandangan terhadap pelan melibatkan belia kepada kepimpinan tertinggi KBS.

"Kembara JOM adalah platform terbaik bagi pemegang taruh belia mendapatkan maklum balas dan pandangan tentang pelan transisi kepimpinan belia dan meningkatkan pengetahuan dan pemahaman berkaitan Akta 668 dan pindaan 2019.

"Selain itu, program seperti ini dapat meningkatkan pengetahuan dan pemahaman mengenai hala tuju belia serta kepimpinan belia negara di samping mendapatkan maklumat terkini untuk merangka program dan aktiviti pembangunan belia yang menyeluruh, inklusif dan komprehensif," katanya.

Terdahulu, program yang berlangsung di Pusat Konvensyen MBSA, Seksyen 13, Shah Alam peringkat negeri Selangor itu turut dihadiri oleh Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Negeri Selangor, Najwan Halimi, Ketua Pengarah JBSN, Mohd Azhari Mohammad dan Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negeri Selangor, Azura Sarbin.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Mac 2024 @ 9:43 PM