ATLET boling negara, Natasha Mohamed Roslan (kanan) dinobatkan Olahragawati Kebangsaan 2023. FOTO Aizuddin Saad
ATLET boling negara, Natasha Mohamed Roslan (kanan) dinobatkan Olahragawati Kebangsaan 2023. FOTO Aizuddin Saad
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Atlet tenpin boling wanita negara, Natasha Mohamed Roslan menganggap kejayaan dinobatkan selaku Olahragawati Kebangsaan 2023 sebagai motivasi tambahan untuk dirinya terus melakar kejayan di persada dunia selepas ini.

Jelasnya, anugerah yang diperoleh itu membuatkan dia semakin semangat untuk mempamerkan aksi terbaik dan sasaran utamanya ketika ini adalah menampilkan aksi cemerlang di Kejohanan Tenpin Boling Asia ke-27 di Bangkok, Thailand pada September nanti.

"Tahun ini tenpin boling (Malaysia), kita ada 'Asian Championship' pada September nanti. Tapi sebelum itu saya akan buat yang terbaik untuk final saya esok di Kejohanan Terbuka Sarawak Antarabangsa.

"Jadi saya akan buat yang terbaik untuk pastikan ke 'Asian Championship'. Target saya di Thailand itu, masa tahun lepas saya menang perak kategori perseorangan.

"Tahun ini saya harap harap saya dapat berikan aksi yang lebih baik dan boleh bawa balik pingat dalam acara berpasukan juga,"katanya selepas Majlis Anugerah Sukan Negara (ASN) 2023 di Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil, di sini, semalam.

Sementara itu, mengulas lanjut berkenaan kemenangan yang diraih semalam, atlet kelahiran Selangor itu menyifatkan ia sebagai satu kemenangan yang begitu bermakna untuk dirinya kerana tidak menyangka akan dipilih menjadi atlet terbaik bagi tahun 2023.

Baginya, dia merasakan pencabar utamanya, S Sivasangari dari sukan skuasy antara nama yang akan diangkat dalam majlis itu.

"Saya merasakan Sivasangari boleh menang sebab dia baru menang atlet terbaik bulanan sementara saya tiada apa-apa anugerah lagi, sebab itu saya rasa dia yang akan menang dan saya pun tidak mengharapkan sangat,"katanya.

Terdahulu, Arena Metro melaporkan atlet tenpin boling wanita negara, Natasha Mohamed Roslan menepati ramalan apabila dinobatkan sebagai Olahragawati Kebangsaan 2023 dalam majlis ASN malam tadi.

Kemenangan Natasha berjaya mengetepikan empat pencabarnya termasuklah pemenang pingat emas Sukan Asia Hangzhou, Nur Syazrin Mohamad Latif dari sukan pelayaran dan S Sivasangari (skuasy).

Turut berada dalam senarai pencalonan akhir adalah Nur Amisha Azrilrizal (Muay Thai) dan Nurul Alyani Jamil (boling padang).

Atlet muda itu dipilih selaku pemenang selepas berjaya menamatkan kemarau 12 tahun Malaysia untuk memenangi pingat emas acara individu pada Kejohanan Dunia di Salmiya, Kuwait pada 9 Oktober tahun lalu dan itu adalah kemenangan pertama buat dirinya.

Sebagai rekod, kali terakhir atlet boling wanita merangkul Olahragawati Kebangsaan adalah menerusi Shalin Zulkifli pada 2002.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Jun 2024 @ 1:23 PM