Syazwan Msar dan Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Jaguh bina badan negara, Datuk Mohd Syarul Azman Mahen Abdullah akhirnya boleh tersenyum lebar selepas pencalonan kali enam membawa tuah untuknya apabila dinobatkan sebagai Olahragawan Kebangsaan dalam satu majlis Anugerah Sukan Kebangsaan (ASN) 2023 yang diadakan di Casa 4 MSN Bukit Jalil, di sini, sebentar tadi.

Kejayaan Mohd Syarul Azman atau lebih dikenali dengan panggilan Mike itu berjaya mengatasi empat calon lain dan tiga daripadanya adalah pemenang pingat emas Sukan Asia Hangzhou iaitu atlet ekuestrian, Mohd Qabil Ambak Mahamad Fathi, Ng Eain Yow (skuasy), Muhammad Arif Afifuddin Ab Malek (karate) serta Muhammad Rafiq Ismail (tenpin boling).

Pemilihan Mike berdasarkan pencapaian terbaiknya di pentas dunia iaitu merangkul kejuaraan pada Kejohanan Dunia Bina Badan dan Fizik dalam acara acara 'athletic physique' 167cm yang berlangsung di Wonju City, Korea Selatan November tahun lalu.

Lebih manis lagi kejuaraan terbabit adalah yang keenam dikecapi jaguh bina badan negara terbabit sekali gus mempertahankan kemenangan yang dimenanginya di Phuket, Thailand pada tahun 2022.

Kejayaan itu membolehkan Mike menjadi atlet bina badan negara yang ketiga dinobatkan sebagai Olahragawan Kebangsaan selepas Datuk Malek Noor dan Sazali Samad.

MIKE dinobatkan sebagai Olahragawan Kebangsaan 2023 dan pemain boling wanita negara, Natasha Mohamed Roslan yang dinobatkan sebagai Olahragawati Kebangsaan 2023. -FOTO Aizuddin Saad
MIKE dinobatkan sebagai Olahragawan Kebangsaan 2023 dan pemain boling wanita negara, Natasha Mohamed Roslan yang dinobatkan sebagai Olahragawati Kebangsaan 2023. -FOTO Aizuddin Saad

Malek Noor pernah sekali dinobatkan sebagai Olahragawan iaitu pada 1986 manakala Sazali yang juga juara dunia 10 kali pernah memenanginya sebanyak empat kali bermula 2000, 2006, 2013 dan 2014.

Sebagai makluman, selepas 26 tahun menabur bakti dalam sukan bina badan, Mike akhirnya mengambil keputusan mengumumkan persaraannya pada 22 Mac yang lalu.

Mike menyifatkan pencapaian kali ini melengkapkan kerjanya sebagai seorang atlet selepas menanti sekian lama untuk bergelar Olahragawan Kebangsaan.

"Saya memang tidak pernah terfikir untuk memenangi anugerah ini ketika muda. Saya rasakan ia pencapaian yang sukar untuk dicapai.

"Apabila kali pertama disenaraikan sebagai calon akhir pada 2016, saya sudah anggap ia satu pengiktirafan yang besar.

"Cuma selepas dicalonkan beberapa kali selepas itu, baru saya terfikir mengapa tidak saya memenanginya. Saya bekerja keras untuk mendominasi sukan ini dan apabila berjaya merangkul anugerah ini, sukar saya gambarkan dengan kata-kata.

"Saya boleh cakap, kerjaya saya sebagai atlet sudah lengkap. Kejayaan ini membuktikan atlet daripada sukan yang kurang popular seperti bina badan mampu menjadi juara dunia dan memenangi Olahragawan Kebangsaan," katanya.

Majlis anugerah turut diserikan dengan kehadiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selain Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Jun 2024 @ 10:53 PM