Syazwan Msar dan Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Atlet tenpin boling wanita negara, Natasha Mohamed Roslan menepati ramalan apabila dinobatkan sebagai Olahragawati Kebangsaan 2023 dalam satu majlis Anugerah Sukan Kebangsaan (ASN) 2023 yang diadakan di Casa 4 MSN Bukit Jalil, di sini, sebentar tadi.

Kemenangan Natasha berjaya mengetepikan empat pencabarnya termasuklah pemenang pingat emas Sukan Asia Hangzhou, Nur Syazrin Mohamad Latif dari sukan pelayaran dan S Sivasangari (skuasy).

Turut berada dalam senarai pencalonan akhir adalah Nur Amisha Azrilrizal (Muay Thai) dan Nurul Alyani Jamil (boling padang).

Jelas Natasha , kejayaan itu sudah lama menjadi idamannya terutama selepas mendapat motivasi dari ratu tenping boling, Datuk Shalin Zulkifli untuk dia terus memburu kejayaan demi kejayaan.

"Shalin adalah idola saya sejak dahulu dan dia sering maklumkan kepada saya untuk mencari pelbagai kejayaan dan sentiasa merendah diri meskipun kita berada di puncak," katanya.

MIKE dan Natasha masing-masing dinobatkan sebagai Olahragawan dan Olahragawati Kebangsaan 2023. -FOTO Aizuddin Saad
MIKE dan Natasha masing-masing dinobatkan sebagai Olahragawan dan Olahragawati Kebangsaan 2023. -FOTO Aizuddin Saad

Atlet muda itu dipilih selaku pemenang selepas berjaya menamatkan kemarau 12 tahun Malaysia untuk memenangi pingat emas acara individu pada Kejohanan Dunia di Salmiya, Kuwait pada 9 Oktober tahun lepas dan itu adalah kemenangan pertama buat dirinya.

Dia mengetepikan cabaran rakan senegara, Sin Li Jane menerusi keputusan 2-1 dalam format tiga permainan terbaik pada aksi yang berlangsung di Kuwait Bowling Sporting Club.

Kali terakhir Malaysia meraih pingat emas acara itu adalah menerusi Jacqueline Sijore pada 2011 di Hong Kong.

Sebagai rekod, kali terakhir atlet boling wanita merangkul Olahragawati Kebangsaan adalah menerusi Shalin Zulkifli pada 2002.

Selain itu, dalam kejohanan yang sama atlet berusia 26 tahun itu juga berjaya meraih pingat perak dalam acara berpasukan serta gangsa untuk acara berkumpulan keseluruhan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Jun 2024 @ 11:04 PM