NUR Ain  (kanan) dan Aleena  memenangi anugerah Atlet Terbaik pada Majlis Anugerah Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM) 100 Plus 2023. FOTO Bernama
NUR Ain (kanan) dan Aleena memenangi anugerah Atlet Terbaik pada Majlis Anugerah Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM) 100 Plus 2023. FOTO Bernama
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Gandingan boling padang negara, Nur Ain Nabilah Tarmizi-Aleena Ahmad Nawawi memenangi Anugerah Atlet Terbaik pada Anugerah Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM)-100PLUS 2023 di sini, malam tadi.

Kemenangan itu cukup bermakna apabila mereka berjaya ketepikan dua bintang skuasy negara S Sivasangari dan Ng Eain Yow, atlet wushu Wong Weng Soon serta juara tenpin boling dunia Natasha Mohamed Roslan.

September lalu, Nur Ain Nabilah-Aleena mencipta sensasi menamatkan kemarau 15 tahun tanpa pingat emas buat Malaysia pada aksi final pairs wanita pada Kejohanan Boling Padang Wanita 2023 dengan menewaskan wakil Malta, Rebecca Rixon-Connie Rixon, 15-12 di di Gold Coast, Australia.

Sementara itu, juara Sukan Paralimpik 2020, Cheah Liek Hou mempertahankan gelaran Atlet Para Terbaik dengan menumpaskan calon lain iaitu jaguh powerlifting negara Bonnie Bunyau Gustin dan atlet boccia Noor Askuzaimey Mat Salim.

Antara pencapaian diraih Liek Hou dalam acara perseorangan tahun lepas adalah meraih emas di Kejohanan Para Antarabangsa Sepanyol, Kejohanan Para Brazil dan Kejohanan Para Antarabangsa England.

Gandingan Nur Ain Nabilah-Aleena dan Liek Hou masing-masing menerima trofi dan wang tunai berjumlah RM10,000 yang disampaikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, pada majlis tahunan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Jun 2024 @ 1:13 AM