JUARA dunia keirin, Azizulhasni calon Olahragawan ASN 2017. - FOTO IQMAL HAQIM ROSMAN
JUARA dunia keirin, Azizulhasni calon Olahragawan ASN 2017. - FOTO IQMAL HAQIM ROSMAN
Sukhairi Thani

 

JUARA dunia keirin, Azizulhasni Awang dan ratu terjun negara, Cheong Jun Hoong berada dalam senarai calon akhir bagi Olahragawan dan Olahragawati Anugerah Sukan Negara (ASN) 2017 yang dijadual berlangsung di Hotel Hilton Kuala Lumpur, 13 Mac ini.

Azizulhasni yang muncul juara dunia tahun lalu diberi tentangan hebat oleh tujuh lagi calon - atlet bina badan, Mohd Syarul Azman Mahen, Muhammad Hakimi Ismail (olahraga), Gavin Kyle Green (golf), Mohd Fitri Saari (hoki), Mohamad Rafiq Ismail (tenpin boling) dan Khairul Hafiz Jantan (olahraga).

Jun Hoong yang meraih pingat emas dalam acara 10m platform di Kejuaraan Dunia di Budapest, Hungary, Julai lalu pula disenarai pendek bersama-sama lima lagi atlet iaitu, S Sivasangari (skuasy), Koi Sie Yan (gimrama), Fatehah Mustapa (berbasikal), Emma Firyani Saroji (boling padang) dan Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman (tenpin boling).

“Mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan Anugerah Sukan Negara terdiri daripada ahli Kementerian Belia dan Sukan, Majlis Sukan Negara, persatuan sukan dan juga Persatuan Penulis-Penulis Sukan yang terdiri daripada mereka yang cukup berpengalaman dalam menilai perkembangan sukan serta atlet negara baik normal mahupun para.

“Pemilihan bagi tahun 2017 menjurus kepada prestasi atlet di beberapa kejohanan dunia dan dua temasya sukan yang dianjurkan di negara kita, Sukan SEA dan Sukan Para (KL2017), Ogos lalu,” kata Ketua Setiausaha KBS, Datuk Lokman Hakim Ali kepada media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Pemilihan ASN, hari ini.

Mengulas lanjut, Lokman berkata, mereka mempunyai 83 senarai calon untuk 11 kategori ditawarkan kali ini yang mana meningkat daripada edisi sebelum ini.

Sebelas kategori berkenaan adalah Olahragawan dan Olahragawati Kebangsaan, Olahragawan Para dan Olahragawati Para Kebangsaan, Pasukan Lelaki dan Wanita Kebangsaan, Jurulatih Lelaki dan Wanita Kebangsaan, Anugerah Tokoh Sukan, Kepimpinan Sukan dan Anugerah Khas.

“Anugerah Sukan Negara adalah anugerah tertinggi oleh kerajaan bagi mengiktiraf kejayaan cemerlang sepanjang tahun yang dicapai atlet, jurulatih, pegawai dan pertubuhan sukan tanah air.

“Anugerah ini juga sebagai dorongan dan motivasi kepada penggiat sukan negara untuk sentiasa mempertingkatkan mutu dan prestasi mereka dari semasa ke semasa.

“Anugerah Sukan Negara juga adalah anugerah berprestij, bukan saja menjadi kebanggaan kepada pemenang tetapi juga seluruh warga sukan negara.

“Populariti atlet dan sukan mampu merangsang kecenderungan rakyat untuk lebih cergas dan cerdas di samping meningkatkan lagi nilai komersial sukan di negara kita,” katanya.

Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V berkenaan untuk mencemar duli sebagai tetamu kehormat di majlis gilang-gemilang itu nanti.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Mac 2018 @ 6:50 PM