BARISAN ahli jawatankuasa MABA bagi penggal 2024-2028. -FOTO MABA
BARISAN ahli jawatankuasa MABA bagi penggal 2024-2028. -FOTO MABA
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Persatuan Bola Keranjang Malaysia (MABA) bakal menjadi contoh kepada persatuan sukan yang ada di Malaysia apabila mereka bakal menjana kewangan sendiri sekali gus mampu mengorak langkah lebih maju di masa hadapan.

Menurut Presiden MABA, Datuk Lee Tian Hock, bangunan yang sedia ada itu akan dirobohkan dan akan dibangunkan semula untuk pembinaan pangsapuri servis oleh pemaju yang bekerjasama dengan pihak persatuan, Exsim.

Mengikut perancangan yang dirangka, MABA akan memperoleh keuntungan RM170 juta dan pihak persatuan bersedia melaburkan RM120 juta untuk pembinaan pangsapuri servis itu sekali gus memberi anggaran pulangan sebanyak RM5juta hingga RM7 juta setiap tahun.

"Daripada kerjasama ini, kita akan dapat sekurang-kurangnya RM170 juta. Daripada itu, RM120 juta kita akan kontra dengan hartanah yang dibangunkan di sini. Salah satunya adalah 3,000 kaki persegi untuk dijadikan pejabat MABA," kata Tian Hock.

Jelas Tian Hock, selepas bangunan itu siap sepenuhnya, MABA akan mengambil beberapa pendekatan dengan menyewakan ruang pejabat serta gelanggang latihan di Wisma Majlis Olimpik Malaysia (MOM) sehingga projek pembangunan semula wisma mereka dijangka siap sepenuhnya pada 2028.

Sementara itu dalam Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) MABA serta pemilihan Exco baharu bagi penggal 2024 hingga 2028 yang berlangsung hari ini, Tian Hock mengekalkan jawatan presiden tanpa bertanding sekali gus bakal memegang jawatan berkenaan untuk penggal kedua secara berturut-turut.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Mei 2024 @ 5:03 PM