TIAN Hock berkata Thailand hanya membenarkan setiap pasukan mendaftarkan pemain warisan. FOTO Ihsan Persatuan Bola Keranjang Malaysia
TIAN Hock berkata Thailand hanya membenarkan setiap pasukan mendaftarkan pemain warisan. FOTO Ihsan Persatuan Bola Keranjang Malaysia
Saiful Affendy Sapran

Kuala Lumpur: Peluang skuad bola keranjang lelaki negara untuk meraih pingat di temasya Sukan Sea Bangkok 2025 dilihat agak cerah.

Ia selepas Presiden Persatuan Bola Keranjang Malaysia (MABA), Datuk Seri Lee Tian Hock berkata, difahamkan Thailand selaku tuan rumah menetapkan peraturan untuk tidak membenarkan pemain naturalisasi beraksi di temasya dwitahunan itu.

Jelasnya, Thailand hanya membenarkan setiap pasukan mendaftarkan pemain warisan iaitu berdarah kacukan untuk menyertai temasya di Bangkok.

"Jika macam ini, memang kita ada peluang untuk sekurang-kurangnya memenangi pingat.

"Seperti yang semua tahu, sebelum ini negara seperti Filipina, Vietnam, Indonesia dan Kemboja semuanya mempunyai pemain naturalisasi. Jadi, ia menyukarkan pemain kita untuk memenangi pingat," katanya ketika ditemui pada Majlis Makan Malam Tahunan MABA, semalam.

Turut hadir, Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria; Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Abdul Rashid Yaakub dan legenda badminton negara, Datuk Lee Chong Wei.

Sementara itu, Tian Hock berkata, pihaknya akan memperhebatkan program pencarian bakat bagi menghadapi Sukan Sea 2027 yang menyaksikan Malaysia tampil selaku tuan rumah.

Sebagai rekod, kali terakhir skuad lelaki negara memenangi pingat adalah pada edisi 2007 di Korat apabila membawa pulang gangsa dalam acara 5x5.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 January 2024 @ 8:15 PM