TIAN Hock (empat dari kanan) menyerlahkan Jalur Gemilang kepada skuad bola keranjang lelaki negara. FOTO SUKHAIRI THANI
TIAN Hock (empat dari kanan) menyerlahkan Jalur Gemilang kepada skuad bola keranjang lelaki negara. FOTO SUKHAIRI THANI
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Beraksi di Liga Filbasket di Manila, Filipina bakal membantu skuad bola keranjang lelaki negara melakukan persiapan rapi menjelang Sukan Sea Vietnam.

Skuad bola keranjang lelaki negara menyertai kejohanan profesional itu yang menampilkan kira-kira 14 pasukan selama 50 hari di Manila dengan menggunakan nama KL Aseel Club dimiliki Kwan Weng Yew.

Menurut Presiden Persatuan Bola Keranjang Malaysia (Maba), Datuk Lee Tian Hock, pihaknya mengharapkan kejohanan berkenaan menjadi medan buat pasukan memperkemaskan skil dan ketajaman permainan sebelum Sukan Sea membuka tirainya.

"Pada 15 Mac ini, semua pemain kebangsaan akan ke Manila untuk menyertai liga profesional di sana selama 50 hari sebagai persediaan ke Sukan Sea," kata Tian Hock dalam sidang media.

Ujarnya, Maba menyasarkan layak ke separuh akhir di kejohanan berkenaan yang juga persiapan ke Sukan Sea.

Selain menyertai kejohanan profesional di Manila, Maba turut menghantar empat pemain kebangsaan untuk menyertai Kelayakan Piala Dunia 3x3 2022 yang dijadual berlangsung di Doha, Qatar dari 25 hingga 26 Mac ini. Ditanya sekiranya akan ada lagi pentas pemanas badan yang lain selepas itu, Tian Hock berkata, pihaknya sedang dalam perancangan untuk menyediakan beberapa perlawanan persahabatan.

"Apabila mereka pulang nanti pada akhir April, akan ada beberapa perlawanan untuk kuatkan lagi permainan mereka. Cumanya itu masih dalam perbincangan lagi memandangkan ketidaktentuan dalam situasi pandemik ini. Belum pasti lagi sama ada kita mahu mengajak pasukan antarabangsa ataupun hanya bermain dengan pasukan tempatan," kata Tian Hock.

Untuk rekod, Malaysia berada di tangga keenam daripada lapan pasukan pada temasya Sukan Sea Filipina 2019 manakala tuan rumah muncul juara keseluruhan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Mac 2022 @ 9:14 PM