Tian Hock (bersama) skuad bola keranjang wanita yang memenangi pingat gangsa di Sukan Sea Hanoi. FOTO Ferzalfie Fauzi
Tian Hock (bersama) skuad bola keranjang wanita yang memenangi pingat gangsa di Sukan Sea Hanoi. FOTO Ferzalfie Fauzi
Ferzalfie Fauzi


Kuala Lumpur: Pemain bola keranjang wanita negara yang meraih pingat gangsa di Sukan Sea Hanoi menerima durian runtuh apabila memperoleh ganjaran RM10,000 setiap seorang.

Presiden Persatuan Bola Keranjang Malaysia (Maba), Datuk Seri Lee Tian Hock mengotakan janjinya apabila menyampaikan insentif kemenangan itu pada majlis yang berlangsung di Wisma Maba hari ini.

Turut menerima ganjaran ialah dua orang jurulatih yang memperoleh RM15,000 setiap seorang.

Menurut Tian Hock beliau berharap insentif berkenaan dapat menyuntik semangat barisan pemain negara untuk terus bekerja keras terutama dalam persiapan menghadapi Sukan Sea kemboja tahun dengan sasaran untuk meraih pencapaian lebih baik berbanding di Hanoi.

"Pada 1 Mei yang lalu, saya sudah berjanji akan memberikan insentif kepada pemain, jika berjaya menang emas setiap seorang akan dapat RM50,000, perak RM20,000 dan gangsa RM10,000," katanya.

Ujar Tian Hock ketika itu sasaran mereka adalah satu perak dan dua gangsa tetapi hanya dapat bawa pulang satu gangsa pada temasya yang baru berakhir minggu lalu.

"Saya tidak menganggap ini sebagai satu kegagalan kerana semangat juang tinggi yang ditunjukkan pemain sangat memuaskan.

"Kita kalah bukan disebabkan kita tidak melawan tetapi seperti semua tahu faktor saiz fizikal adalah sangat mustahak. Beberapa negara seperti Thailand, Vietnam, Filipina dan Indonesia semuanya memiliki pemain naturalisasi.

"Jadi, ini adalah sesuatu yang kita sedang usahakan untuk pasukan negara," katanya.

Di Hanoi, emas bola keranjang wanita dimenangi Filipina manakala Indonesia meraih perak dan Malaysia gangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Mei 2022 @ 5:42 PM