TIAN Hock (tengah) berkata MABA akan menganjurkan Kejohanan Jemputan Antarabangsa pada April ini sebagai persiapan buat skuad negara. FOTO Bernama
TIAN Hock (tengah) berkata MABA akan menganjurkan Kejohanan Jemputan Antarabangsa pada April ini sebagai persiapan buat skuad negara. FOTO Bernama
Aida Adilah Mat


Kuala Lumpur: Persatuan Bola Keranjang Malaysia (MABA) mula merangka strategi terbaik bagi memastikan skuad bola keranjang negara membawa pulang pingat pada temasya Sukan SEA Vietnam Mei ini.

Presiden MABA, Datuk Lee Tian Hock menegaskan bahawa, skuad bola keranjang negara perlu membawa pulang sekurang-kurangnya satu pingat gangsa bagi mengulangi pencapaian tiga tahun lalu di Filipina.

Katanya, ketika ini seramai 16 pemain lelaki sudah pun disenarai pendek dengan skuad wanita akan diputuskan kemudian.

"Perancangan sudah diaturkan dengan bajet yang diperlukan adalah sekitar RM4 juta.

"Ketika ini MABA sudah pun mempunyai dana sebanyak RM2.2 juta dan menjadi tanggungjawab saya sebagai presiden untuk mencari lagi dana berjumlah RM1.8 juta untuk skuad bola keranjang negara," kata Tian Hock.

Beliau yang ketika ditemui pada sidang media selepas mesyuarat jawatankuasa MABA kali kelima berkata, MABA akan menganjurkan Kejohanan Jemputan Antarabangsa pada April ini sebagai persiapan buat skuad negara menghadapi Sukan SEA Vietnam dengan Filipina masih lagi dianggap sebagai pencabar utama.

Dalam perkembangan yang sama, Tian Hock turut memaklumkan bahawa MABA kini sedang berusaha untuk merealisasikan hasrat membawa pemain naturalisasi dengan beliau sudahpun bertemu Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Faizal Azumu untuk membincangkan mengenai perkara itu.

Bagaimanapun Tian Hock menegaskan perkara itu mungkin tidak dapat direalisasikan dalam masa terdekat ini dan masih perlu melalui proses yang panjang.

"Saya harap hasrat untuk mengambil pemain naturalisasi ini dapat direalisasikan nanti dan jika berjaya mungkin kita boleh memikirkan kejayaan di peringkat Asia.

"Tapi sekarang ini fokus utama adalah untuk mempersiapkan skuad negara ke Sukan Sea terlebih dahulu. Itu yang penting," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 January 2022 @ 6:38 PM