AKSI antara Malaysia dan China di Piala Dunia Sepak Takraw di Stadium Titiwangsa. FOTO Bernama
AKSI antara Malaysia dan China di Piala Dunia Sepak Takraw di Stadium Titiwangsa. FOTO Bernama
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Malaysia membuka tirai Piala Dunia Sepak Takraw 2024 dengan langkah kanan apabila membenam China 2-0 dalam acara regu Kumpulan B yang berlangsung di Stadium Titiwangsa, sebentar tadi.

Malaysia yang menurunkan skuad terbaik Mohammad Syahir Mohd Rosdi selaku tekong, Farhan Adam selaku apit kiri dan Mohamad Azlan Alias yang memainkan peranan di apit kanan ternyata tidak memberi peluang kepada China apabila mencatat kemenangan straight set 15-6, 15-7.

Ketua pasukan Malaysia, Farhan meluahkan perasaan syukur apabila skuad negara memulakan perlawanan dengan kemenangan sekali gus memberi tonik untuk perlawanan seterusnya.

"Saya amat bangga dengan pemain dan pasukan apabila kita berjaya mencatatkan kemenangan pertama. Hari ini (perlawanan menentang China) sebagai permulaan untuk kami memulakan perjalanan sehingga ke pusingan seterusnya.

"Kami akan fokus satu perlawanan ke satu perlawanan dan berjanji akan lakukan yang terbaik (dalam setiap perlawanan)," katanya selepas tamat perlawanan.

Dalam perlawanan itu, ternyata pengalaman kedua-dua pasukan begitu ketara apabila Malaysia lebih mendominasi perlawanan sementara China yang menurunkan Wu Haoran (tekong), Zhang Ruhaq (apit kiri) dan Fan Xu (apit kanan) sedikit bergelut untuk mendapatkan mata demi mata.

Namun begitu, kredit harus diberikan kepada pemain China apabila berjaya mendapatkan mata dari umpanan serta libasan mereka sendiri.

Dalam perlawanan kedua esok, Malaysia akan turun menentang Brunei dan dijangka tiada masalah buat pemain negara mencatatkan kemenangan kedua serta muncul juara Kumpulan B.

Di pusingan seterusnya, Malaysia akan berdepan naib juara kumpulan C yang dianggotai Korea Selatan, Filipina dan Singapura di suku akhir.

Sementara itu, pasukan regu Thailand yang berada dalam Kumpulan A turut mencatat kemenangan mudah straight set 15-7, 15-8 ke atas Vietnam.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 Mei 2024 @ 11:47 PM