KUALA LUMPUR, 23 Mei -- Aksi regu C Malaysia Mohammad Azlan Alias (kanan), Zuhri Muhammad Zain (tengah) dan Farhan Adam (kiri) ketika menentang pasukan Brunei dalam Acara Berpasukan pada Kejohanan Piala Dunia Sepak Takraw 2024 di Stadium Titiwangsa hari ini. FOTO BERNAMA
KUALA LUMPUR, 23 Mei -- Aksi regu C Malaysia Mohammad Azlan Alias (kanan), Zuhri Muhammad Zain (tengah) dan Farhan Adam (kiri) ketika menentang pasukan Brunei dalam Acara Berpasukan pada Kejohanan Piala Dunia Sepak Takraw 2024 di Stadium Titiwangsa hari ini. FOTO BERNAMA
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Malaysia meneruskan momentum kemenangan apabila bermula dengan baik dalam acara regu berpasukan selepas menewaskan Brunei 3-0 dalam perlawanan pertama peringkat Kumpulan C, Piala Dunia Sepak Takraw 2024, hari ini.

Perlawanan yang berlangsung di Stadium Titiwangsa itu, memperlihatkan setiap regu negara tidak menghadapi sebarang masalah untuk merakam kemenangan mudah ke atas lawan mereka.

Perejam Regu B, Muhammad Shahalril Aiman Halim berkata, ketua jurulatih negara, Ahmad Jais Baharun menurunkan kesemua pemain dalam perlawanan pertama ini agar setiap daripada mereka bersedia untuk perlawanan seterusnya.

"Alhamdulillah kita meraih kemenangan dalam perlawanan pertama, kami tidak memandang mudah pertemuan dengan Brunei dan semua pemain memberikan komitmen 100 peratus.

"Selepas ini, kami akan fokus untuk aksi kedua menentang Jepun. Selepas pasukan menang acara beregu dan regu semalam, kami mahu meneruskan momentum dalam acara berpasukan pula.

"Percaturan regu dan pemain mana diturunkan hanya ditentukan jurulatih, apabila diberikan peluang beraksi kami akan buat sehabis baik," katanya.

Terdahulu, Regu A dibarisi Haziq Hairul Nizam (tekong), Amirul Zazwan Amir (apit kiri) dan Baihakki Aripin (apit kanan) mudah mendapatkan mata pertama menewaskan Brunei 15-11, 15-7.

Regu B yang dianggotai Zarif Marican Ibrahim Marican (tekong), Zaim Razali (apit kiri) dan Shahalril Aiman meneruskan rentak kemenangan dengan straight set lawan 15-7, 15-9.

Malaysia menutup perlawanan dengan kemenangan dari Regu C, Zuhri Zain (tekong), Farhan Adam (apit kiri) dan Azlan Alias (apit kanan) apabila tidak memberi peluang kepada Brunei apabila mencatatkan kemenangan 15-6, 15-5.

Malaysia yang berada dalam Kumpulan C akan turun menentang Jepun dalam perlawanan kedua pada pukul 8 malam esok bagi melengkapkan jadual peringkat kumpulan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Mei 2024 @ 7:20 PM