Pasukan Regu Lelaki Malaysia meraikan kemenangan selepas menewaskan Thailand pada perlawanan Final Regu Lelaki Sepak Takraw Piala Dunia 2024 di Stadium Titiwangsa. FOTO HAZREEN MOHAMAD
Pasukan Regu Lelaki Malaysia meraikan kemenangan selepas menewaskan Thailand pada perlawanan Final Regu Lelaki Sepak Takraw Piala Dunia 2024 di Stadium Titiwangsa. FOTO HAZREEN MOHAMAD
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Malam yang cukup sempurna buat sukan sepak takraw Malaysia apabila merangkul dua kejuaraan bagi acara double serta regu dalam satu malam dan lebih bermakna ia terjadi ketika Malaysia menewaskan gergasi seperti Thailand di final Piala Dunia Sepak Takraw 2024.

Bermain di halaman sendiri ternyata memberi kelebihan cukup besar buat pasukan negara menampilkan aksi terbaik di edisi dunia kali ini.

Pasukan double yang terlebih dahulu turun menentang Thailand membuka langkah cukup gemilang dengan kemenangan straight set 17-16, 15-14.

Namun itu bukan perlawanan yang mudah apabila dou negara, Muhammad Noraizat Mohd Nordin dan Aidil Aiman Zawawi bermain cukup baik untuk mendahului 10-3 di set pertama dan meneruskan momentum itu di set kedua dengan kemenangan yang cukup bermakna.

Kejayaan awal yang dicipta oleh pasukan double ternyata menyuntik semangat pemain regu negara yang turun selepas itu bertemu pasukan yang sama.

Di atas kertas mungkin Thailand dilihat mempunyai kelebihan namum begitu, anak didik Ahmad Jais Baharun menggotakan janji mereka untuk tampil cemerlang di final bagi acara berkenaan.

Trio negara, ketuai oleh Farhan Adam (apit kiri), Mohammad Syahir Mohd Rosdi (tekong) Mohamad Azlan Alias (apit kanan) dan Muhammad Haziq Hairul Nizam (tekong) bagai di rasuk apabila mempamerkan prestasi luar biasa dan bermain dengan begitu cemerlang tanpa banyak melakukan kesilapan untuk menang straight set 15-7, 15-12.

Pujian juga harus diberikan kepada tekong simpanan, Muhammad Haziq yang membalas kembali kepercayaan Ahmad Jais membawa masuk dirinya menggantikan Syahir Rosdi dan memberikan aksi yang cukup sempurna.

Terdahulu di sebelah petang, Iran menunjukkan dominasi selaku pasukan baharu apabila sapu bersih kejuaraan dalam acara double dan regu menewaskan Taiwan di final Divisyen 1 Piala Dunia Sepak Takraw 2024.

Skuad double Iran yang dibarisi Mehdi Ghobadi dan Amir Hossein Gharanjik terpaksa bekerja keras apabila tewas set pertama sebelum bangkit dua set selepas itu untuk menang 11-15, 15-11, 15-11 dalam pertarungan selama 60 minit.

Sementara acara regu pula, hasrat Taiwan untuk menebus kehampaan pasukan double tidak kesampaian apabila terpaksa akur kekalahan kepada Iran straight set 9-15, 10-15 sekali gus dikecewakan dalam dua final berturut-turut.

Iran yang menurunkan Sina Rezaei (tekong), Majid Ghafari (apit kanan) dan Mehdi Ghobadi (apit kiri) ternyata lebih baik dan konsisten dalam memburu kemenangan. Mehdi yang sebelum itu turun dalam acara double seperti membawa tuah kepada pasukan regu mereka.

Pasukan Iran merakamkan kemenangan mereka pada Piala Dunia Sepak Takraw 2024 di Divisyen tanda ingatan buat presiden kesayangan mereka, Allahyarham Ebrahim Raisi yang terkorban dalam nahas helikopter, pada Ahad lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Mei 2024 @ 11:23 PM