GANDINGAN Farhan (kanan), Syahir (tengah) dan Azlan mudah menewaskan Brunei untuk mara ke suku akhir. FOTO BERNAMA
GANDINGAN Farhan (kanan), Syahir (tengah) dan Azlan mudah menewaskan Brunei untuk mara ke suku akhir. FOTO BERNAMA
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Regu negara mengesahkan tempat ke suku akhir Piala Dunia Sepak Takraw 2024 selepas melengkapkan kemenangan ke atas Brunei dalam perlawanan terakhir Kumpulan B di Stadium Titiwangsa, sebentar tadi.

Brunei gagal menjelmakan tentangan buat skuad regu negara yang menang 15-7, 15-7.

Tekong negara, Mohammad Syahir Mohd Rosdi mengakui mereka belum bertemu lawan sebenar, namun tetap bersyukur dengan kemenangan diperoleh hari ini yang memberi motivasi kepada rakan-rakan bagi menghadapi perlawanan di pusingan seterusnya.

"Dua perlawanan awal ketika menentang China, semalam dan Brunei hari ini memang Malaysia belum dapat lagi lawan sebenar, tetapi kami tetap memberikan yang terbaik dengan siapa sahaja kami jumpa," kata Syahir selepas perlawanan.

Malah, Syahir dilihat begitu selesa apabila servisnya banyak menyumbang mata terutama pada set pertama.

Selain itu, dia sangat teruja melihat kira-kira 1,000 penonton hadir di stadium selepas lama tidak merasai suasana seperti ini.

"Kali terakhir saya merasai suasana seperti ini adalah pada 2017 (Sukan Sea Kuala Lumpur) dan waktu itu juga bermain di sini (Malaysia).

"Tetapi hari ini saya dapat rasakan suasana itu lagi dan bermain di tempat sendiri, di depan penyokong setia sejujurnya memberi sedikit tekanan kepada kami," katanya.

Terdahulu, ketua jurulatih Malaysia, Ahmad Jais Baharun mengekalkan trio Syahir, Farhan Adam (apit kiri) dan Mohamad Azlan Alias (apit kanan).

Malah, beliau memberi peluang kepada Muhammad Shahalril Aiman Halim dan Muhammad Haziq Hairul Nizam untuk bermain bagi mendapatkan suasana serta momentum perlawanan.

Kemenangan itu menyaksikan pasukan negara muncul juara Kumpulan B dan di suku akhir pada Selasa ini, mereka akan berdepan naib johan Kumpulan C sama ada Korea Selatan, Singapura atau Filipina.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Mei 2024 @ 9:50 PM