KERJA pembersihan pantai Sungai Rengit  yang tercemar dengan tumpahan minyak, akibat pelanggaran kapal di Singapura pada Jumaat lalu, giat dijalankan.  FOTO Omar Ahmad
KERJA pembersihan pantai Sungai Rengit yang tercemar dengan tumpahan minyak, akibat pelanggaran kapal di Singapura pada Jumaat lalu, giat dijalankan. FOTO Omar Ahmad
Omar Ahmad


Kota Tinggi : Hampir 200 nelayan di pengkalan Jeti Nelayan Sungai Rengit, Pengerang di sini terpaksa menanggung kerugian apabila tidak dapat turun ke laut sejak lima hari lalu, akibat kesan tumpahan minyak.

Ia susulan kejadian pelanggaran kapal pada Jumaat lalu di sebuah pelabuhan dalam wilayah Singapura, yang menyebabkan tumpahan minyak sebanyak 400 tan.

Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Nelayan Pengkalan Sungai Rengit, Rosli Mohd Ali, 56 berkata seramai 183 nelayan yang yang jadi ahli persatuan itu terpaksa menunggu sehingga kesan tumpahan minyak di kawasan pesisir pantai di Sungai Rengit pulih, bagi mengelak lebih banyak kerugian di alami.

Katanya kejadian disedari komuniti nelayan pada Isnin lalu, ketika mencari hasil laut di perairan Sungai Rengit.

"Kita sedar apabila nampak tompokan hitam terapung di laut, terus kita tarik jaring dan terus balik ke jeti.

"Sampai sahaja di Jeti, baru kami nampak kesan banyak tompokan minyak di tepi pantai. Esoknya memang kami semua tidak boleh turun ke laut untuk menangkap ikan.

"Kesan minyak ini kalau terkena pada peralatan nelayan seperti jaring, pelampung dan tali memang tiada maaf, terpaksa buang sahaja

"Jaring nelayan ini ada simpulan yang kita panggil buku untuk mata jaring, kena minyak memang tidak hilang. Apabila kita pakai juga jaring yang tercemar dan rosak, hasil tiada sebab berbau," katanya ketika ditemui di Pengkalan Jeti Nelayan Sungai Rengit di sini, hari ini.

Rosli berkata, kejadian tumpahan minyak pernah terjadi 10 tahun dahulu yang mana kesannya sangat teruk kepada komuniti nelayan.

Katanya ketika itu lebih 30 bot nelayan terkena minyak sehingga ke dek apabila arus kuat dan berombak membawa air yang tercemar minyak ke kawasan muara sungai, yang menempatkan bot mereka.

"Tompokan minyak ini mengikut arus, apabila pasang akan masuk ke muara sungai, dan surut akan tersangkut, dan apabila panas di kawasan pantai akan nampak berketul-ketul minyak.

"Kalau ikutkan pelanggaran kapal itu berlaku di Singapura, tetapi boleh sampai ke sini.

"Dalam situasi ini, kalau kita turun juga ke laut kerugian itu akan berlipat kali ganda. Peralatan nelayan bukan murah, jaring putih yang siap sehelai harganya mencecah RM360.

"Biasa nelayan laut dalam macam kami akan pakai 60 helai. Jadi boleh kira ruginya kami kalau semua peralatan itu rosak terkena minyak," katanya yang sudah 30 tahun menjadi nelayan laut dalam dan nelayan pantai.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Jun 2024 @ 1:36 PM