SKUAD negara menewaskan Indonesia 2-0 untuk mara ke pentas akhir berdepan Thailand.
SKUAD negara menewaskan Indonesia 2-0 untuk mara ke pentas akhir berdepan Thailand.
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Malaysia berada di landasan tepat untuk memburu kejuaraan hatrik apabila akan beraksi di pentas final buat kali ketiga berturut-turut dalam masa seminggu selepas mengalahkan Indonesia 2-0 di separuh akhir acara regu berpasukan Piala Dunia Sepak Takraw 2024, sebentar tadi.

Dalam perlawanan yang berlangsung di Stadium Titiwangsa, kehadiran ribuan penyokong yang dahagakan kejayaan Malaysia di pentas dunia itu terus memberi sokongan tanpa henti sekali gus membuatkan pemain semakin bersemangat untuk turun dalam perlawanan penting ini.

Ketua jurulatih sepak takraw negara, Ahmad Jais Baharun melakukan sedikit perubahan strategi berbanding perlawanan suku akhir sebelum ini dengan meletakkan Haziq Hairul Nizam (tekong), Amirul Zazwan Amir (apit kiri) dan Noraizat Nordin (apit kanan) selaku Regu utama.

Sekali lagi percaturan tepat Ahmad Jais membuahkan hasil biarpun pada awal set pertama Malaysia ketinggalan 5-2 sebelum bangkit mendapatkan tujuh mata berturut-turut sekali gus trio pertama Malaysia menghadiahkan mata pertama dengan kemenangan straight set 15-10, 15-9.

Rentak kecemerlangan itu diteruskan oleh Regu B, Mohammad Syahir Mohd Rosdi (tekong), Farhan Adam (apit kiri) dan Azlan Alias (apit kanan) dengan persembahan yang cukup meyakinkan tanpa memberi ruang kepada lawan untuk mendapatkan mata demi mata.

Pujian harus diberikan kepada Syahir apabila servis laju daripadanya banyak membantu Malaysia mendapatkan mata demi mata dalam perlawanan kedua untuk menang straight set 15-8, 15-7.

Terdahulu, Thailand yang diletakkan selaku pasukan pilihan menang mudah ke atas Korea Selatan dengan 2-0 dalam satu lagi perlawanan separuh akhir.

Sementara Indonesia dan Korea Selatan terpaksa berpuas hati untuk menamatkan saingan regu berpasukan dengan memenangi pingat gangsa.

Malaysia akan berdepan Thailand di pentas final pada jam 3 petang esok.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Mei 2024 @ 11:12 PM