PASUKAN Sepak Takraw Lelaki Malaysia meraikan kemenangan berganda selepas menewaskan pasukan Thailand pada perlawanan Final Regu dan Double Lelaki Sepak Takraw Piala Dunia 2024 di Stadium Titiwangsa. FOTO HAZREEN MOHAMAD
PASUKAN Sepak Takraw Lelaki Malaysia meraikan kemenangan berganda selepas menewaskan pasukan Thailand pada perlawanan Final Regu dan Double Lelaki Sepak Takraw Piala Dunia 2024 di Stadium Titiwangsa. FOTO HAZREEN MOHAMAD
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Sukar untuk menyembunyikan perasaan teruja ketika dapat menewaskan kuasa besar sepak takraw, Thailand di final dalam acara double dan regu di Piala Dunia Sepak Takraw 2024 yang berlangsung di Stadium Titiwangsa, hari ini.

Ketua pasukan regu negara, Farhan Adam berkata, bukan mudah untuk menang ke atas lawan mereka itu kerana Malaysia sering kali dikecewakan apabila bertemu Thailand.

Jelasnya, kejayaan di perlawanan akhir adalah detik terbaik dalam kariernya selaku pemain sepak takraw di pentas dunia.

"Kemenangan malam ini bagi acara double dan regu untuk saya ia kenangan manis yang saya dapat capai dalam karier. Menentang musuh tradisi Thailand bukan sesuatu yang mudah sebab kita selalu kalah dengan mereka," katanya.

Terdahulu, skuad regu negara mempamerkan aksi begitu cemerlang untuk mengecewakan Thailand dengan kemenangan straight set 15-7, 15-12.

Selain Farhan, Mohammad Syahir Mohd Rosdi (tekong) dan Mohamad Azlan Alias (apit kanan) dan Muhammad Haziq Hairul Nizam yang masuk sebagai pemain gantian juga berjaya beraksi dengan baik.

Sebelum itu, pasukan double yang terlebih dahulu turun menentang Thailand membuka langkah cukup gemilang dengan kemenangan straight set 17-16, 15-14.

Namun itu bukan perlawanan yang mudah apabila duo negara, Muhammad Noraizat Mohd Nordin dan Aidil Aiman Azwawi bermain cukup baik untuk mendahului 10-3 di set pertama dan meneruskan momentum itu di set kedua dengan kemenangan yang cukup bermakna.

Skuad negara akan meneruskan perjuangan dalam acara regu berpasukan esok dan mengidamkan kejuaraan hatrik di tanah air sendiri.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Mei 2024 @ 12:07 AM