AKSI regu menentang pasukan Thailand dalam perlawanan akhir Berpasukan pada Kejohanan Piala Dunia Sepak Takraw 2024 di Stadium Titiwangsa petang ini. -FOTO Hazreen Mohammad
AKSI regu menentang pasukan Thailand dalam perlawanan akhir Berpasukan pada Kejohanan Piala Dunia Sepak Takraw 2024 di Stadium Titiwangsa petang ini. -FOTO Hazreen Mohammad
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur: Harapan menggunung Malaysia untuk mencipta kejayaan hatrik di halaman sendiri tidak kesampaian apabila skuad negara tewas 1-2 kepada Thailand dalam final di Piala Dunia Sepak Takraw 2024.

Malah kekalahan itu menyebabkan hasrat skuad negara ingin menamatkan kemarau acara regu berpasukan selepas 33 tahun tertangguh lagi.

Aksi akhir yang berlangsung di Stadium Titiwangsa, hari ini, menyaksikan kedua-dua pasukan menurun barisan terkuat di mana Malaysia membariskan Mohammad Syahir Mohd Rosdi (tekong), Farhan Adam (apit kiri) dan Azlan Alias (apit kanan) sementara Thailand pula meletakkan Siriwat Sakha (tekong), Poramet Siriswat (apit kiri) dan Varayut Jantarasena (apit kanan) untuk memburu mata pertama untuk pasukan masing-masing.

Biarpun tewas di set pertama namun ternyata trio negara lebih garang untuk melakukan kebangkitan dua set selepas itu untuk mencatatkan kemenangan penuh dramatik di penghujung set ketiga dengan 9-15,15-11,15-13.

Harapan untuk menamatkan perlawanan lebih awal tidak terjadi apabila Regu B, Haziq Hairul Nizam (tekong), Amirul Zazwan Amir (apit kiri) dan Noraizat Nordin (apit kanan) gagal menghalang permainan agresif regu Thailand, Kritsanapong Nontakote (tekong), Wichan Temkort (apit kiri) dan Pichet Pansan (apit kanan) dengan kekalahan mudah straight set 8-15, 5-15 dalam perlawanan yang tidak sampai 30 minit.

Dalam perlawanan set penentuan, Regu C Malaysia yang dibarisi Zuhri Muhammad Zain (tekong), Aidil Aiman Azwawi (apit kiri) dan Baihakki A'ripin (apit kanan) bermula agak baik sebelum regu ketiga Thailand, Pornthep Tinbangbon (tekong) Marukin Phanmakon (apit kiri) dan Tanaphon Sapyen (apit kanan) kembali memimpin permainan.

Ketua jurulatih, Ahmad Jais Baharun terpaksa melakukan dua pertukaran awal dengan mengeluarkan Zuhri Zain dan Baihakki dan memasukkan Zarif Marican (tekong) dan Shahalril Aiman Halim (apit kanan) untuk mengimbangi permainan dan menambah kekuatan pasukan negara selepas melihat lawan mereka itu semakin agresif memburu mata.

Namun begitu, Malaysia yang hampir menang di set kedua terpaksa akur dan akui Thailand adalah gergasi sepak takraw dalam acara berpasukan apabila mereka meranapkan impian Malaysia dengan kemenangan straight set 12-15, 12-15.

Untuk rekod, kali terakhir skuad negara mengatasi pasukan Gajah Perang itu ialah pada Sukan Sea Manila 1991.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Mei 2024 @ 6:52 PM